Monday, January 2, 2012

Roboh lagi???

PKR ketepi pembangunan modal insan

Oleh MD. AZRIN ROSLY
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Tindakan Yayasan Selangor di bawah kepimpinan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tetap mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor di sini, menunjukkan mereka lebih mementingkan soal ekonomi daripada pembangunan modal insan.

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, tindakan itu hanya menunjukkan wajah sebenar kerajaan negeri yang mendakwa memperjuangkan keadilan serta kebajikan untuk rakyat.

"Peliknya, mengapa asrama berkenaan yang menyediakan peluang pendidikan kepada anak- anak luar bandar Selangor yang kurang berkemampuan dan miskin untuk dihantar ke sekolah kawalan di bandar yang baik, hendak dihentikan?

"Kerajaan negeri sanggup menggadaikan kebajikan masyarakat luar bandar demi keuntungan jangka pendek berbanding pembangunan modal insan yang sangat penting bagi jangka panjang," kata beliau.

Kelmarin, Gerakan Saya Anak Yayasan Selangor (GSAYS) memaklumkan ruang perbincangan dengan pihak berkenaan agar menimbang semula keputusan merobohkan asrama itu telah tertutup apabila Yayasan Selangor membuka tender kepada pemaju yang berminat untuk membangunkan tanah tapak asrama yang akan dirobohkan nanti.

Lebih mengecewakan, pihak Yayasan Selangor atau kerajaan negeri dikatakan tidak menyediakan alternatif untuk membina asrama baru bagi menggantikan asrama yang akan dirobohkan itu nanti.

Tambah Syed Anuar, rakyat perlu menilai semula kerajaan negeri yang telah diberikan mandat untuk memerintah itu tetapi gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan menghukum mereka dalam pilihan raya akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, perkembangan terbaru tersebut merupakan berita dukacita kepada warga pendidik kerana asrama seperti itu sepatutnya diperbanyakkan, bukan dikurangkan.

"Langkah mengutamakan keuntungan dan kebendaan itu dilihat tidak selari dengan pembangunan insan serta usaha kerajaan untuk memberi peluang kepada pelajar luar bandar menuntut di sekolah ternama di kawasan bandar.

"Saya kira asrama ini sudah ada sejak tahun 1970-an lagi dan sudah beribu-ribu pelajar asrama itu yang telah mendapat manfaat," ujarnya.

Alimuddin yang merupakan bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, Yayasan Selangor perlu menyediakan asrama baru yang lebih baik bagi menampung lebih banyak pelajar di tempat lain jika mereka tetap mahu merobohkan asrama tersebut

MM: Selepas Madrasah Salihiah kini Yayasan Selangor. Lepas ni mana pula? Kawan nak tunggu apa komen Hassan Ali.

No comments:

Post a Comment