Tuesday, January 10, 2012

Bukti instutusi kehakiman bebas

Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuktikan institusi kehakiman negara bebas membuat keputusan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Sehubungan itu, semua pihak perlu menerima perkara itu dengan hati terbuka dan menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam perbicaraan kes tersebut.

Pemerhati undang-undang, Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz berkata, keputusan mahkamah sekali gus menangkis dakwaan pihak tertentu bahawa sistem kehakiman negara terikat dengan pengaruh kerajaan.

“Ia salah satu bukti sistem kehakiman negara mengamalkan proses undang- undang yang bebas daripada pengaruh kerajaan.

“Keputusan mahkamah dalam kes Anwar dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang betul dan mengikut budi bicara mahkamah, maka tiada siapa boleh mempertikaikannya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari hampir empat tahun lalu.

Sham Rahayu yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, keadaan itu sekali gus ‘membersihkan’ imej kehakiman negara yang sering dituduh pembangkang sebagai sering pilih kasih dengan memihak kepada kerajaan.

Mengenai mahkamah tidak boleh 100 peratus memastikan bahawa integriti sampel DNA yang diambil daripada Mohd. Saiful Bukhari tidak diusik, katanya, terpulang kepada budi bicara pihak forensik dan pendakwa untuk mengemukakan rayuan atau bukti baru mengenainya.

“Sebagai rakyat, kita hanya boleh menghormati keputusan mahkamah dan jika ada sebarang rasa tidak puas hati, pihak pendakwaan masih banyak masa dan peringkat untuk memanjangkan kes ini,” katanya.

Sementara itu, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Md. Ismail berkata, sistem perundangan dan kehakiman negara sudah terbukti bebas selepas banyak dipolitikkan pihak tertentu sehingga mencalar imejnya.

“Pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah boleh membuat rayuan. Semua pihak sama ada penyokong atau penentang Anwar harus menghormati proses undang-undang negara.

“Jika ada sebarang pertikaian yang timbul berhubung keputusan mahkamah, pihak berkaitan boleh membuat kajian akademik mengenainya atau proses lain yang difikirkan wajar,” katanya

MM: Keputusan mahkamah telah menunjukkan bahawa tiada campurtangan pihak kerajaan seperti yang di canangkan oleh pembangkang. Walauapapun kejadian liwat tetap berlaku. Jika benar ianya suka sama suka, satu tamparan buat Pas. Tak kan Pas nak terima orang yang sebegitu? Boleh ke seseorang yang rendah moralnya di letakkan sebagai pemimpin no 1?

No comments:

Post a Comment