Monday, January 30, 2012

Pas pengecut?

Sikap berdiam diri pemimpin Pas diselar
Ahli Parlimen Kulim Bandar Baharu, Datuk Zulkifli Noordin menyelar sikap pemimpin tertinggi Pas yang sehingga kini berdiam diri meskipun Datuk Seri Anwar Ibrahim dengan jelas menyatakan sokongan terhadap sebarang usaha bagi menjamin keselamatan negara Israel.

Beliau berkata, sikap Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Mursyidul Am, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat serta Naib Presiden, Datuk Mahfuz Omar dalam isu tersebut nyata berbeza berbanding pertengahan 90-an dahulu apabila Pas menentang keras kehadiran pasukan kriket remaja Israel.

"Kenapa sampai sekarang pemimpin Pas berdiam diri? Mana perginya Abdul Hadi dan Nik Abdul Aziz ketika Anwar menyatakan sokongan terhadap sebarang usaha untuk keselamatan negara Israel? Mana Mahfuz yang dahulu sanggup masuk penjara kerana prinsip menentang Israel? Apakah Pas setuju dengan Anwar?

"Bagi saya kalau Pas memilih untuk berdiam diri dalam isu ini, maknanya Pas yang mengangkat Anwar untuk menjadi Perdana Menteri jika pembangkang memerintah juga menyokong segala usaha untuk menjamin keselamatan negara Israel," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas sikap berdiam diri pucuk pimpinan tertinggi Pas terhadap kenyataan kontroversi Anwar sedangkan sebelum ini parti tersebut lantang mengkritik kerajaan berhubung isu Apco Worldwide yang dikaitkan dengan negara Yahudi itu.

Sehingga kini, hanya Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Nasrudin Hassan yang tampil mengeluar kenyataan secara umum menolak sebarang usaha untuk menyokong Israel apatah lagi untuk memberi perlindungan kepada golongan yang disifatkannya dilaknat oleh Allah.

Dalam perkembangan berkaitan, Zulkifli berkata, kenyataan terbaru Anwar adalah rentetan bukti amalan politik dua alam ketua pembangkang itu yang tidak pernah tetap pendirian jika berdepan khalayak berbeza dan ia dibuat bertujuan meraih kembali sokongan serta kepercayaan kumpulan pro-Yahudi di Barat.

"Rakyat perlu sedar hakikat ini. Anwar mempunyai hubungan rapat dengan kelompok individu yang pro-Yahudi. Hubungan beliau dengan Paul Wolfowitz (arkitek perang Iraq), William Cohen (bekas Setiausaha Pertahanan Amerika Syarikat) dan Al Gore telah sekian lama menjadi rahsia terbuka," katanya

MM: Kawan lihat disini Pas makin tersepit. Banyak kenyataan dari ketua pembangkang yang jelas bercanggah dengan prinsip Pas selama ini. Apakah kenyataan Hadi yang ingin berundur juga mempunyai kaitan dengan pendirian segelintir pemimpin Pas yang jelas bercanggah dengan dasar parti tersebut? Atau, adakah Hadi takut dengan bayang-bayang sendiri setelah seorang bekas exco selangor yang kini menjelajah seluruh negara untuk menerangkan kepada rakyat pekong yang amat busuk di dalam parti Pas? Sikap berdolak dalih sesama pemimpin Pas berkaitan banyak isu yang ditimbulkan oleh ketua pembangkang nampaknya sudah mula menjerat mereka. Inikah parti dan pemimpin yang ingin kita angkat menerajui negara Malaysia yang tercinta ini? Harapan kawan, jangan rakyat tersalah pilih...

Friday, January 27, 2012

MB Pahang tidak perlu layan

KALAU diturutkan puak pembangkang, 'benang yang basah pun boleh ditegakkan', termasuklah dalam memperkatakan sehingga memberi gambaran buruk tentang projek pemprosesan logam tanah jarang, Lynas bernilai RM2,300 juta di Gebeng, dekat sini.
Di sebalik sekadar 'minoriti lantang' (vocal minority) yang bermatian-matian berusaha mewujudkan persepsi negatif terhadap projek oleh Lynas Malaysia Sdn. Bhd. itu, mereka berjaya juga mempengaruhi segelintir penduduk Kuantan khususnya masyarakat Cina.
(Minoriti lantang ialah segelintir individu yang sering meluahkan pendapat mereka kepada khalayak, bertentangan dengan majoriti senyap yang merupakan sebahagian besar masyarakat namun jarang meluahkan pendapat mereka).
Inilah kejayaan mereka yang hendak dipertahan dan dikekalkan, lalu mereka sentiasa merangkakan aktiviti baharu agar 'momentum' yang ada tidak terencat, sebaliknya disemarakkan dari satu tahap, ke satu tahap lain.
Yang terbaharu ialah dengan mencadangkan debat mengenai isu ini dianjurkan, kononnya supaya orang ramai dapat membuat penilaian tersendiri tentang projek yang ditohmahkan sebagai amat berbahaya kepada keselamatan dan kesihatan.
Maka, tidak adalah yang lebih menarik perhatian terhadap debat ini daripada Ahli Parlimen pembangkang dari Kuantan, Fuziah Salleh, menawarkan untuk beradu-debat dengan Menteri Besar, Datuk Seri Diraja Adnan Yaakob.
Seperti sudah terhidu dengan strategi terbaharu inilah, MB yang diminta mengulas tentang gesaan berdebat itu semasa ditemui oleh wartawan pada satu majlis di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah (POLISAS), 17 Januari lepas, telah menyahutnya secara positif namun menegaskan;
"Awak sendiri lihat betapa penentang-penentang projek Lynas ini, kita telah pun berikan kepada mereka segala fakta, segala penerangan yang dilakukan oleh pakar-pakar nuklear, pakar radiasi tetapi mereka masih tidak dapat terima.
"Apakah maknanya ini? Mereka ialah golongan yang bersikap tidak peduli apa. Kepada golongan sebegini, kita boleh berikan segala penjelasan tetapi jika mereka terus bersikap tidak peduli apa, agama saya sarankan agar kita tidak perlu bertikam lidah, kita tidak perlu untuk memberi sebab-musabab (reason-out) kepada mereka".
Tepat sekali kata-kata Adnan itu, dan beliau sudah tentu tahu apa yang dikatakannya kerana sebelum inipun - lama sebelum projek pemprosesan logam tanah jarang ini menjadi isu sebagaimana sekarang; beliau juga pernah bertemu dan berbalas-balas khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan Ahli Parlimen wanita itu.
Hasil daripada itulah yang turut menyumbang kepada keputusan Kerajaan Pusat menerusi Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), membawa pakar-pakar bebas mahupun yang bernaung di bawah Agensi Tenaga Atom Antarabangsa (IAEA), untuk melaksanakan kerja-kerja pemeriksaan ke atas projek itu pada Jun lepas.
Akhirnya, pakar-pakar ini memutuskan bahawa projek ini adalah selamat, dan dalam masa yang sama mengemukakan 11 cadangan antaranya mengenai keperluan kerajaan untuk meneruskan lagi kerja-kerja perhubungan atau perundingan (engagement) agar masyarakat dapat faham tentang selamatnya projek ini.
Jika debat yang dicadangkan pula kini ialah bagi memenuhi kehendak untuk perhubungan atau perundingan itu, bagaimanakah dengan begitu banyak sesi perhubungan atau perundingan yang telah dilaksanakan selama ini sejak 2008 lagi?
Antara sesi tersebut, termasuk pada Julai 2009 lagi, apabila taklimat dianjurkan kepada ahli-ahli Parlimen dan wakil-wakil rakyat termasuk Fuziah, tetapi beliau tidak hadir sebaliknya menghantar seseorang sebagai wakilnya.
Jika pembangkang asyik melalak tentang keperluan untuk semua pihak mematuhi cadangan IAEA tentang keperluan untuk terus menganjurkan perhubungan atau perundingan tersebut, kenapa pula puak pembangkang tidak mahu menerima dan patuh kepada dapatan IAEA yang sama tentang selamatnya projek ini?
Sebenarnya, debat yang dicadangkan kali ini ialah alternatif puak pembangkang sendiri kepada majlis perjumpaan ala town-hall yang pernah dianjurkan menerusi perantara Perbadanan Kemajuan Negeri Pahang (PKNP) di Kompleks Dagangan Mahkota dekat sini, pada April lepas lagi.
Hanya sempat bertahan selama tiga kali penganjuran, kerajaan negeri memutuskan untuk menangguh kemudian membatalkannya terus, berikutan kekecohan yang ditimbulkan oleh mereka yang hadir secara bebas, kebanyakannya pula dengan pre-judged mind lalu tidak mahu terima apa juga penjelasan yang diberikan.
Belajar daripada insiden pahit tersebutlah, bermula sebaik-baik selepas IAEA membuat pengumumannya pada 30 Jun lepas, sesi-sesi perhubungan atau perundingan kemudian diadakan secara kelompok ke kelompok khusus tertentu dengan yang pertama, melibatkan anggota komponen Barisan Nasional (BN).
Pada perjumpaan yang diadakan di Dewan, Kediaman Rasmi Menteri Besar dekat sini, puak-puak penentang ini tetap datang tanpa diundang, dengan matlamat tentunya untuk mengecohkan keadaan seperti mana di Kompleks Dagangan Mahkota.
Namun, sesudah menyedari betapa mereka sekadar membentuk sekumpulan kecil hadirin dalam kalangan anggota BN yang sudah tentunya lebih ramai, yang boleh puak penentang ini lakukan ialah sekadar diam menikus!
Maka, haruskah kerenah mereka perlu dilayani lagi termasuk dalam memenuhi gesaan mereka terhadap MB untuk mengadakan debat, yang pasti tidak akan mendatangkan apa-apa faedah itu?

Thursday, January 26, 2012

PR kelam kabut...

Azmin: Pakatan sedia gempur serangan Hasan Ali
Pimpinan Pakatan Rakyat (PR) bersiap sedia menghadapi serangan balas bekas Exco Selangor, Datuk Dr Hasan Ali dalam mempertahankan kedudukan yang lebih selesa di Selangor.

Timbalan Presiden PKR, Azmin Ali berkata, Kerajaan Negeri yakin dengan segala bukti dan fakta yang dikumpulkan mampu menangkis serangan yang dilakukan Hasan dalam siri jelajahnya.

MM: Nampaknya PR sudah mula takut apabila Hassan Ali akan membuat roadshow bagi menerangkan kepada rakyat kepincangan yang berlaku dalam PR. Jika benar isu Hassan Ali tidak menjejaskan PR, mengapa Azmin perlu takut. Sekali lagi pencacai nuar ini ingin menunjukkan belangnya. Selamat berjuang kepada Assan dan Min.

Monday, January 23, 2012

Kemana sebenarnya hala tuju Pas kini?

– Tindakan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) Selangor menarik portfolio hal ehwal Islam daripada Exco Pas adalah sejajar dengan hasrat Pas untuk tidak lagi memperjuangkan negara Islam bersama pakatan pembangkang.
Biarpun ia suatu tamparan yang hebat dan memalukan Pas serta kepimpinannya, mereka terpaksa ‘menelan’ penghinaan itu.
Nampaknya angan-angan pengikut Pas yang ingin melihat Presidennya, Datuk Seri Abdul Hadi Awang menjadi Perdana Menteri juga mungkin tidak kesampaian.
Sudah tentu jawatan itu menjadi milik pemimpin parti seperti PKR atau DAP manakala Abdul Hadi Awang selaku Menteri Belia dan Sukan sahaja.
Ahli Dewan Undangan Negeri Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi hanya diberi portfolio menjaga adat Melayu sedangkan ia bukan suatu perjuangan Pas.
Tepuk dada tanya nik ajis...

Isu Lynas: MB tidak perlu layan debat

- Gabungan Pelajar Melayu Semenanjung (GPMS) Pahang meminta Menteri Besar, Datuk Seri Adnan Yaakob supaya tidak melayan hasrat Anggota Parlimen Kuantan, Fuziah Salleh untuk berdebat mengenai isu pembinaan kilang memproses nadir bumi syarikat Lynas Malaysia Sdn. Bhd. (Lynas) di kawasan perindustrian Gebeng.

Pengerusinya, Wan Emril Nizam Wan Embong berkata, pihak pembangkang sering memutar belit pelbagai perkara dan fakta manakala tujuan berdebat itu dilihat lebih bermotifkan politik.

"Pihak mereka sebelum ini juga membuat forum seperti ini, namun akhirnya dijadikan sebagai platform memburukkan perancangan kerajaan.

"Saya hairan dengan sikap golongan ini kerana terus mencari salah kerajaan sedangkan pelbagai ruang dan peluang disediakan untuk berbincang dan berdialog," katanya di sini, hari ini.

Baru-baru ini, Adnan dilaporkan bersedia untuk menyahut cabaran Fuziah, anggota Parlimen dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) untuk berdebat berhubung isu Lynas yang sering ditohmah pembangkang sebagai tidak selamat sedangkan kajian yang dijalankan pelbagai pihak menunjukkan ia selamat untuk alam sekitar dan penduduk.

Malah, Anggota Parlimen Pas Hulu Langat, Dr. Che Rosli Che Mat yang juga pakar sains nuklear sebelum ini turut membidas Fuziah kerana terlalu menakut-nakutkan penduduk dengan fakta salah berhubung isu berkenaan.

Wan Emril Nizam berkata, pelbagai usaha penerangan dan keterbukaan telah ditunjukkan pihak kerajaan dan syarikat Lynas untuk menjelaskan isu berkaitan pembinaan kilang memproses nadir bumi di Gebeng.

"Pihak menentang ini seolah-olah tidak mempedulikan apa jua maklumat yang disalurkan, mereka tetap pekakkan telinga dan gelapkan hati untuk menerima kebenaran," katanya.

MM: Kawan setuju dengan saranan GPMS itu. Sebenarnya pihak pembangkang sudah kehabisan modal untuk menghentam kerajaan. Banyak perkara telah dilaksanakan oleh kerajaan untuk membantu rakyat tetapi langsung tidak dihargai. Mereka sebenarnya malu untuk mengakui bahawa kerajaan yang ada kini adalah yang terbaik . Kenyataan dari Angota Parlimen Pas Hulu Langat juga tidak diendahkan oleh Fuziah Salleh. Kawan lihat suara-suara dari kalangan orang-orang Pas tidak lagi didengar oleh teman-teman dalam PR dalam banyak isu. Di sebabkan oleh PKR jugalah, kecelaruan dan perbalahan makin parah di dalam parti Pas. Inilah akibat jika nafsu mengatasi segala-galanya. Kepada MB Pahang, biarkan Fuziah menyalak sepuas-puasnya.

Friday, January 20, 2012

Maruah Pas bagaikan dipijak....

KUALA LUMPUR 19 Jan. – Rombakan portfolio Hal Ehwal Agama Islam Negeri Selangor yang disandang Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pas kepada Menteri Besar, Tan Sri Abdul Khalid Ibrahim dari Parti Keadilan Rakyat (PKR) membuktikan maruah Pas sebagai sebuah parti Islam telah dipijak.

MM: kawan tak tahu siapakah yang akan membela nasib orang-orang Islam di Selangor. Itu kena tanya nik ajis sebab dia "Ulama"!!!!!

Thursday, January 19, 2012

Pas dimalukan?

SHAH ALAM 18 Jan. - Pas Selangor menerima tamparan hebat apabila bukan sahaja Pesuruhjayanya, Dr. Abdul Rani Osman tidak dilantik menjadi Exco kerajaan negeri yang baru malah turut kehilangan portfolio Hal Ehwal Agama yang sebelum ini disandang oleh Datuk Dr. Hasan Ali yang digugurkan daripada jawatan itu Jumaat lalu.

Ini berikutan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sijangkang, Dr. Ahmad Yunus Hairi, 47, yang mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (MMKN) hari ini hanya diberikan portfolio sebagai Pengerusi Jawatankuasa Tetap Adat Resam Melayu, Belia dan Sukan.

MM: Nampaknya makin banyaklah maksiat, makin ramailah yang murtad di Selangor. Cakap mulut lain, tapi dihati, siapa yang tahu. Geramnya Pas kepada PKR tidak tertahan-tahan tetapi demi kuasa serta impian untuk duduk di kerusi empuk Putrajaya, kemarahan terpaksa dipendamkan, Pas ibarat melukut ditepi gantang.

Tuesday, January 17, 2012

Rakyat Selangor sedar tertipu

- Rakyat Selangor dipercayai telah sedar mereka tertipu dengan janji manis kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang menjanjikan perubahan.

Penganalisis politik, Mohd. Roslan Mohd. Saludin berkata, tarikh Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU-13) kini amat ditunggu-tunggu oleh rakyat Selangor untuk mengubah kerajaan yang gagal berfungsi dan menyelesaikan masalah.

Katanya yang juga bekas Felo Pusat Syariah, Undang-Undang dan Sains Politik, Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM), Barisan Nasional (BN) di bawah kepimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dilihat lebih meyakinkan dengan pendekatan rakyat didahulukan.

Menurutnya, rata-rata rakyat Selangor amat teruja menunggu saat-saat diberi peluang mengubah kerajaan negeri melalui PRU13.

MM: Kawan harap semua ini menjadi iktibar kepada rakyat Malaysia. Berjanji memang mudah, itu sebelum dapat kuasa tetapi bila dah dapat kuasa berbagai alasan diberikan. Harapan kawan, PRU 13 akan datang perubahan dapat dibuat oleh rakyat.

Monday, January 16, 2012

Anwar tidak boleh dipercayai

KUALA LUMPUR 15 Jan. - Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang baru dibebaskan daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya dianggap sebagai pemimpin yang tidak boleh dipercayai walaupun beliau terselamat daripada hukuman penjara.

Menariknya, label itu diberikan majalah antarabangsa, The Economist dan bukan datang daripada pemimpin UMNO mahu pun Barisan Nasional (BN) yang selama ini sering dituduh sebagai pihak yang berkonspirasi ke atas pertuduhan liwat tersebut.

Menurut The Economist, walaupun Anwar seorang pemimpin yang berkarisma dan memiliki kehebatan sebagai pemidato, tetapi imej serta reputasinya sebagai ketua pembangkang tercemar khususnya dalam kalangan generasi muda di negara ini.

"Bagaimana keputusan (mahkamah) itu akan memberi kesan kepada politik Malaysia? Dalam jangka pendek, kemenangan (pembebasan) Anwar sudah tentu memberi rangsangan sangat diperlukan kepada pakatan pembangkang yang diketuainya.

"Namun, untuk jangka masa panjang belum jelas. Reputasinya tercemar dan beliau seorang pemimpin yang tidak boleh dipercayai khususnya bagi generasi muda Malaysia," kata majalah tersebut sebagaimana dipetik dari laman webnya, http://www.economist.com hari ini.

Isnin lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur melepas dan membebaskan Anwar selepas Hakim Datuk Mohamad Zabidin Mohd. Diah mendapati tiada bukti kukuh bagi menyokong keterangan Mohd. Saiful Bukhari Azlan selain tidak selamat untuk bergantung kepada bukti asid deoksiribonukleik (DNA).

Pembebasan itu disambut baik oleh beberapa pihak yang cenderung menyokong kebebasan hak kumpulan lesbian, gay, biseksual dan transeksual (LGBT) termasuk sebuah pertubuhan homoseksual dari Filipina, Organisasi Progresif Gay Filipina (ProGay).

Malah, Anwar sendiri tidak terkecuali bercakap mengenai homoseksual apabila mempertikai undang-undang berkaitan perkara itu di Malaysia yang disifatkannya sebagai sudah lapuk dan tidak relevan ketika menjawab soalan wartawan agensi berita antarabangsa, BBC.

Dalam pada itu, The Economist menambah, ketua pembangkang itu juga gagal membawa pemodenan dalam politik apabila PKR yang diterajuinya dipenuhi ahli keluarga sendiri selain pelbagai masalah dalaman meskipun beliau sering kali melaungkan reformasi.

"Pembangkang di Malaysia kini terperangkap dengan (moral) Anwar sebagai pemimpin (selepas dibebaskan mahkamah). Anwar mungkin masih popular bagi sesetengah pihak, tetapi dia juga kini terlalu lemah untuk menumbangkan BN," dakwa majalah itu lagi

MM: Nampaknya tembelang Nuar bukan sahaja diketahui oleh rakyat Malaysia tetapi juga oleh negara-negara luar. Kenyataan Nuar yang jelas mempertikaikan undang-undang berkaitan homoseksual seharusnya membuka mata seluruh rakyat Malaysia siapa Nuar sebenarnya terutamanya kepada parti yang kononnya memperjuangkan Islam di negara ini. Keputusan Hasan Ali tidak mahu bersengkokol dengan pemimpin Pas yang lain dalam kes Nuar adalah tepat. Sebenarnya ramai orang-orang Islam keliru dalam kes Nuar ini tetapi disebabkan ada dikalangan pemimpin yang mereka angkat sebagai ulama yang gila kuasa, maka mereka seperti lembu dicucuk hidungnya, hanya mengikut membuta tuli tanpa mengetahui kebenarannya. Harapan kawan moga ramai yang akan sedar.

Friday, January 13, 2012

Biadapnya pembangkang...

Tun M berterima kasih kepada Azmin Ali
KUALA LUMPUR 12 Jan. - Tun Dr. Mahathir Mohamad ialah contoh seorang pemimpin ulung yang tidak mudah melatah apabila berterima kasih kepada Azmin Ali, meskipun Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menghinanya dengan ungkapan biadap.

Namun, dalam nada sinis, bekas Perdana Menteri itu menempelak Azmin kerana mengeluarkan kenyataan tidak berotak apabila memanggil beliau dengan ungkapan 'kepala otak kau' semasa berceramah di Pulau Pinang, Selasa lalu.

"Saya mahu kata terima kasihlah, dalam kepala saya ada otak, kepala dia (Azmin) tak ada," katanya ringkas dan sinis ketika ditemui Utusan Malaysia selepas menyampaikan ucaptama pada majlis dialog bank pelaburan anjuran Maybank, di Hotel Mandarin Oriental, di sini hari ini.

Azmin ketika berceramah pada Himpunan Rakyat Menuntut Keadilan di Seberang Jaya, Pulau Pinang memanggil Dr. Mahathir dengan ungkapan 'kepala otak kau' sebagai reaksi kepada komen bekas Perdana Menteri itu berhubung keputusan mahkamah membebaskan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Reaksi biadap tersebut dikeluarkan Azmin kerana berang dengan kenyataan Dr. Mahathir yang menyifatkan pembebasan Anwar daripada tuduhan liwat adalah bukti tiada konspirasi sebagaimana dituduh dan dijaja pembangkang bertujuan untuk menimbulkan kebencian rakyat.

Ia kenyataan biadap kedua seumpamanya dikeluarkan Ahli Parlimen Gombak itu terhadap negarawan tersebut kerana sebelum ini, semasa Dr. Mahathir mendapat rawatan di Australia, Azmin menggelar bekas Perdana Menteri itu sebagai 'pemimpin tersungkur'.

Malah, Timbalan Presiden PKR itu dengan angkuh berkata, gelaran 'pemimpin tersungkur' istilah paling lunak untuk Dr. Mahathir hanya kerana bekas Perdana Menteri itu memberi sokongan kepada Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) mempertahankan hak bumiputera.

MM: Azmin!!! Inikah orang yang akan pembangkang lantik menjadi pemimpin negara? Kawan rasa jika dia dipilih, lingkup negara ni. Sebagaimana rendahnya moral ketua beliau, begitulah juga rendahnya moral beliau.

Sara 1Malaysia

Datuk Seri Najib Tun Razak melakar satu lagi detik bersejarah dalam usahanya meningkatkan taraf hidup rakyat apabila melancarkan Skim Amanah Rakyat 1Malaysia (Sara 1Malaysia) yang bakal memberi manfaat kepada 100,000 isi rumah berpendapatan rendah.

MM: Terimakasih PM. Satu lagi usaha kerajaan untuk membantu dan memberi kesenangan kepada rakyat bertepatan dengan slogan 'Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan'. Segala rancangan yang dibuat kerajaan memberi manafaat kepada semua rakyat tanpa mengira kaum dan fahaman politik.

Wednesday, January 11, 2012

Salahkah Hasan Ali mempertahankan Islam, Melayu dan Raja-Raja?

Ketua Dewan Ulama Pas pula akur dengan keputusan parti memecat Hasan Ali walaupun sebelum ini beliau mempertahankan Hasan Ali. Nampaknya ramai yang dah jadi 'Pak 'Angguk' dalam Pas. Mereka dah lupa asas perjuangan mereka yang ingin memartabatkan Islam di negara ini hanya kerana mengikut telunjuk rakan-rakan dalam PR. Kawan rasa beliau takut tidak dapat masuk syurga jika beliau pula dipecat dari Pas. Inilah bahananya apabila terlalu taksub kepada seseorang. Dan nampaknya juga Perlembagaan Pas lebih tinggi darjatnya dari hukum Islam.

Kasihan Karpal Singh.....

Karpal sangkal dakwaan Anwar konon kerajaan bimbang
KUALA LUMPUR 10 Jan. - Peguam bela Datuk Seri Anwar Ibrahim, Karpal Singh menyangkal dakwaan anak guamnya yang menyifatkan keputusan Mahkamah Tinggi semalam ada kaitan dengan kebimbangan kerajaan terhadap imej buruk di mata dunia.

Sebaliknya Pengerusi DAP itu menegaskan, ia adalah keputusan badan kehakiman berdasarkan bukti serta kandungan perbicaraan sepenuhnya.

MM: Setelah berbuih mulut kapal sing berhujah untuk mempertahankan nuar (orang yang pernah dia katakan mempunyai bukti meliwat satu ketika dulu, tapi kini dibelanya), kini nuar langsung tidak menghargainya, betul-betullah orang yang dibelanya seperti biawak. Selepas ini kawan tidak terkejut jika nuar katakan pula Pas tidak membantu langsung dalam kesnya, sebabnya, dari dulu lagi Pas ini ibarat 'melukut ditepi gantang' di dalam PR. Agak-agaknya siapa lagi ahli Pas yang akan ditendang dari parti tersebut lebih-lebih lagi selepas nuar dibebaskan. Kita tunggu dan lihat.

Gelagat memalukan muslimat Pas

Ketika muslimat Pas sering ditonjolkan sebagai kumpulan wanita Islam dengan akhlak terpuji, gelagat yang ditunjukkan sebahagian daripada mereka di pekarangan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur tempoh hari mencerminkan sebaliknya.

Meskipun bertudung labuh dengan sebahagian besar daripada mereka berjubah, muslimat Pas itu mempertontonkan gelagat yang cukup memalukan sewaktu menunggu keputusan perbicaraan kes liwat Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Dengan dipimpin oleh seorang ketua yang memegang pembesar suara, muslimat Pas itu menyanyi-nyanyi dan bersorak tanpa mempedulikan orang ramai yang memerhatikan aksi mereka.

Lebih memalukan, muslimat Pas itu seolah-olah lupa diri sehingga sanggup mengeluarkan perkataan ''UMNO mampus'' malah ada kalangan mereka yang gagal menjaga aurat dengan selamba bersalaman dengan lelaki bukan muhrim.

Apa yang menjadi persoalan apabila kumpulan muslimat Pas itu turut disertai Ketuanya, Siti Zailah Mohd. Yusof yang bukan setakat tidak melarang gelagat tidak senonoh pengikutnya, malah kelihatan gembira dan bersama-sama meraikannya.

Gelagat muslimat Pas itu dirakam dan dimuat naik dalam laman sosial Youtube hari ini dan dipaut oleh beberapa blog.

Antaranya blog Sel13.com di http://sel13.com yang turut mempertikaikan akhlak muslimat Pas itu sedangkan menurut blog tersebut, Pas satu masa dahulu pernah mengharamkan wanita menyertai tilawah al-Quran kerana suara wanita adalah aurat.

''Jika dulu Pas sering mengutuk Wanita serta Puteri UMNO kerana tidak berakhlak dan bebas bersalaman dengan bukan muhrim. Adakah itu berakhlak?

''Walaupun Ketua Muslimah Pas berada di situ tetapi tiada langsung usaha untuk menghalang daripada menghentikan perbuatan tidak berakhlak ahli-ahlinya. Malah, beliau pula yang turut sama bergembira.

''Kami tidak berhasrat menulis lebih panjang lagi. Kami pulangkan kepada rakyat untuk menilai akhlak sebenar muslimat-muslimat Pas yang selama ini memperjuangkan Islam melebihi orang lain," demikian menurut blog tersebut.


MM: Apa dah jadi dengan muslimat Pas? Inilah yang dibimbangi oleh Hassan Ali, disebabkan Nuar, muslimat Pas hilang rasa malu, mereka melalak bagai orang meroyan. Perlukah mereka menjerit-jerit sedemikian rupa? Tak kan disebabkan Nuar, Pas menghalalkan segala-galanya. Biarlah Nuar seorang sahaja yang rendah moralnya, janganlah muslimat Pas pun nak mengikut dia juga.

Tuesday, January 10, 2012

Bukti instutusi kehakiman bebas

Pembebasan Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada tuduhan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan membuktikan institusi kehakiman negara bebas membuat keputusan berdasarkan peruntukan undang-undang sedia ada.

Sehubungan itu, semua pihak perlu menerima perkara itu dengan hati terbuka dan menghormati keputusan yang dibuat oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dalam perbicaraan kes tersebut.

Pemerhati undang-undang, Dr. Sham Rahayu Ab. Aziz berkata, keputusan mahkamah sekali gus menangkis dakwaan pihak tertentu bahawa sistem kehakiman negara terikat dengan pengaruh kerajaan.

“Ia salah satu bukti sistem kehakiman negara mengamalkan proses undang- undang yang bebas daripada pengaruh kerajaan.

“Keputusan mahkamah dalam kes Anwar dibuat berdasarkan peruntukan undang-undang yang betul dan mengikut budi bicara mahkamah, maka tiada siapa boleh mempertikaikannya,” katanya ketika dihubungi di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini yang melepas dan membebaskan Anwar daripada tuduhan meliwat Mohd. Saiful Bukhari hampir empat tahun lalu.

Sham Rahayu yang juga pensyarah undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, keadaan itu sekali gus ‘membersihkan’ imej kehakiman negara yang sering dituduh pembangkang sebagai sering pilih kasih dengan memihak kepada kerajaan.

Mengenai mahkamah tidak boleh 100 peratus memastikan bahawa integriti sampel DNA yang diambil daripada Mohd. Saiful Bukhari tidak diusik, katanya, terpulang kepada budi bicara pihak forensik dan pendakwa untuk mengemukakan rayuan atau bukti baru mengenainya.

“Sebagai rakyat, kita hanya boleh menghormati keputusan mahkamah dan jika ada sebarang rasa tidak puas hati, pihak pendakwaan masih banyak masa dan peringkat untuk memanjangkan kes ini,” katanya.

Sementara itu, bekas Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Shaik Daud Md. Ismail berkata, sistem perundangan dan kehakiman negara sudah terbukti bebas selepas banyak dipolitikkan pihak tertentu sehingga mencalar imejnya.

“Pihak yang tidak berpuas hati dengan keputusan mahkamah boleh membuat rayuan. Semua pihak sama ada penyokong atau penentang Anwar harus menghormati proses undang-undang negara.

“Jika ada sebarang pertikaian yang timbul berhubung keputusan mahkamah, pihak berkaitan boleh membuat kajian akademik mengenainya atau proses lain yang difikirkan wajar,” katanya

MM: Keputusan mahkamah telah menunjukkan bahawa tiada campurtangan pihak kerajaan seperti yang di canangkan oleh pembangkang. Walauapapun kejadian liwat tetap berlaku. Jika benar ianya suka sama suka, satu tamparan buat Pas. Tak kan Pas nak terima orang yang sebegitu? Boleh ke seseorang yang rendah moralnya di letakkan sebagai pemimpin no 1?

Monday, January 9, 2012

Polis dipermainkan????

7 Januari,kawan menulis bahawa pembangkang hanya pandai berjanji ekoran dari perjumpaan dengan pihak polis yang membenarkan perhimpunan 901 itu diadakan. Rupa-rupanya sehari selepas itu, Azmin yang perasan beliau adalah Perdana Menteri telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada apa-apa syarat yang perlu mereka patuhi untuk mengadakan perhimpunan tersebut. Kalau kawan cakap, mungkin ada yang setuju dan mungkin ada yang tidak setuju tetapi itulah hakikatnya yakni Azmin adalah seorang munafik. Pas sedar tentang itu tetapi, adakah mereka akan menegur Azmin, tentu jawapannya adalah tidak, kerana mereka telah digula-gulakan oleh PKR dan DAP kononnya mereka akan diberikan jawatan tertinggi jika PR menang dalam PRU nanti. Nampaknya Pas seperti menanti buah yang tak gugur.

Pas parti ditaktor!!!!!!

Hassan Ali dipecat dari Pas tanpa diberi peluang membela diri. Benarlah kata-kata Zulkifli Nordin, parti Pas bagai lembu dicucuk hidungnya. Sebenarnya, Pas lebih kuat dari rakan-rakan dalam pembangkang tetapi mengapa perlu mengikut telunjuk. Pas seperti kemaruk kuasa,mereka seperti telah lupa asas perjuangan parti mereka. Kononnya untuk menegakkan negara Islam, tetapi Hassan Ali, seseorang yang cuba menegakkan Islam, membela nasib orang-orang Melayu dan mempertahankan institusi Raja-Raja telah disingkirkan begitu sahaja dari parti yang kononnya Islam itu. Azmin Ali, orang yang mengeluarkan kenyataan agar Hassan Ali diambil tindakan oleh parti Pas mungkin marah kepada Hassan Ali kerana Hassan Ali mengatakan bahawa tiada orang yang layak menjadi Perdana Menteri melainkan Nik Ajis atau Hadi awang. Maka itulah sebabnya beliau menekan pimpinan Pas agar Hassan Ali disingkirkan. Sebenarnya sejarah telahpun menunjukkan bahawa ramai pemimpin tertinggi Pas telah, samada keluar parti atau disingkirkan dari parti itu sebelum ini. Moga Islam terus membangun bersama UMNO.

Saturday, January 7, 2012

Polis benarkan, majoriti rakyat bagaimana?

Kawan harap tindakan polis membenarkan perhimpunan haram 901 adalah betul. Sebenarnya dari dulu lagi pihak pembangkang ini hanya pandai berjanji. Jika terjadinya sesuatu kejadian, tentunya pihak penganjur akan bercakap bahawa itu adalah luar bidang kuasa mereka. Dan tentunya mereka akan mengatakan bahawa ada pihak yang membuat provokasi sehingga menimbulkan huru hara. Sebenarnya lebih banyak mudharat dari kebaikkan dalam perhimpunan sebegitu. Namun apa pun, kawan harap dan percaya, pihak polis akan dapat menangani situasi itu nanti. Dan kawan juga berharap agar perhimpunan itu nanti tidak mempengaruhi keputusan mahkamah. Kepada penyokong pembangkang, berfikirlah sebelum menyertai perhimpunan tersebut kerana kamu semua telah diheret oleh mereka-mereka yang berkepentingan demi memenuhi nafsu politik mereka. Biarkan mahkamah menentukan keputusan dan bukannya rakyat. Rakyat boleh menjadi hakim, yakni di dalam pilihanraya.

BRIM bukan pinjaman

Datuk Seri Najib Razak menegaskan sumber pembiayaan untuk program Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) adalah daripada kekuatan ekonomi dalaman negara dan bukan menerusi pinjaman Bank Dunia seperti yang didakwa pembangkang. Perdana Menteri berkata, fitnah yang ditabur pembangkang tidak berasas sama sekali dan berharap rakyat tidak terpengaruh dengan dusta politik pembangkang. “Rakyat harus tahu bahawa kali terakhir Malaysia membuat pinjaman daripada Bank Dunia adalah pada 1998, iaitu sebanyak AS400 juta (RM1.28 bilion).

“Inilah fakta sebenarnya. Sumber program BR1M adalah daripada kekuatan ekonomi dalaman negara. Sebenarnya apa yang dilakukan pembangkang ini adalah satu bidaah... satu pembohongan,” katanya ketika merasmikan Komuniti 1Malaysia yang dihadiri kira-kira 10,000 rakyat pelbagai lapisan di Padang Jalan Kantan, Bukit Sentosa di sini semalam.

MM: Moga penjelasan PM tentang program BR1M dapat menutup mulut pembangkang yang tak habis-habis memfitnah kerajaan. Harap rakyat tidak tertipu dengan dakyah pembangkang.

Friday, January 6, 2012

PR terdesak

Kawan benar-benar terkejut dan bingung. Nik Ajis menghalalkan perhimpunan 901. Beliau menyatakan bahawa perhimpunan 901 sama seperti mengerjakan solat lima waktu,solat Jumaat dan solat Hari Raya. Beliau juga menyatakan bahawa DSAI tidak bersalah terhadap pertuduhan liwat tersebut. Lagaknya seperti hakim. Beliau pula pandai-pandai menjatuhkan hukum.
Susah sangat ke nak dengar cakap polis? Sudah beratus lapuran polis di buat bagi membantah perhimpunan tersebut. Dan rasa kawan, itu semua suara majoriti. Dalam demokrasi, suara majoriti yang perlu di dengar, bukannya suara minoriti.

Pendirian orang di menara ilmu

TAN SRI DR. NORDIN KARDI ialah Penyandang Kursi Za'ba di Universiti Pendidikan Sultan Idris.

IBU saya, Maimunah tidak bersekolah tinggi tetapi dia pandai menulis dan membaca.

Dia dibawa lari oleh datuk saya meninggalkan kampung halaman kerana komunis memujuk supaya ibu saya diserahkan kepada mereka untuk dijadikan jurutulis.

Benarkah beliau akan menjadi jurutulis? Tiada siapa ketika itu yang mempercayainya.

Oleh kerana ibu saya lebih dahulu pandai membaca dan menulis dialah yang selalu menyampaikan pelbagai cerita Melayu kepada saya. Antara cerita Melayu yang saya ingat sampai sekarang adalah cerita 'Lembing Awang Pulang Ke Dayang', yang kemudiannya saya baca sendiri dengan teliti termasuk pengajarannya.

Pengajaran cerita itu seperti amat diperlukan sekarang untuk menyelamatkan umat yang tidak berdosa oleh keinginan elit politik melaksanakan sama ada idea mereka yang tulus atau idea yang tersembunyi di sebaliknya hajat dan cita-cita peribadi.

Diceritakan 99 orang menjadi mangsa kerana lembing Awang yang terasa dikhianati yang dilontar dari seorang ke seorang yang tertikam sehinggalah lembing itu menikam ayah Dayang yang serta-merta berhenti tidak melontarkannya lagi kepada orang lain. Ayah Dayang memutuskan untuk memberhentikan perbuatan yang menyebabkan ramai orang mati jika kerja merejam diteruskan.

Saya diberitahu ibu saya bahawa dalam setiap kemungkaran dan dendam orang yang berilmu akan sanggup mengorbankan dirinya untuk memastikan kemungkaran, dendam dan kezaliman tidak akan berlanjutan.

Dalam konteks sekarang siapakah sepatutnya menjadi orang yang berilmu itu yang sanggup mengorbankan dirinya demi kesejahteraan umat? Agama Islam mengajarkan bahawa orang yang baik ialah orang yang dapat mengawal dan menghapuskan nafsu amarahnya. Yang berupaya mengawal semua itu sewajarnya ialah orang berilmu.

Lawannya pula ialah mereka yang sangat cenderung membuat propagasi persengketaan, permusuhan dan kemusnahan. Dengan yang sedemikian, golongan itu hendaklah dilihat sebagai bukan ilmuwan yang patut diikuti atau dijadikan ketua.

Suasana panas di kampus-kampus pada masa ini dengan pelbagai latihan dan senaman menguatkan lengan dan penumbuk tidak sekali-kali menggambarkan kesucian menara ilmu. Kesediaan golongan menara ilmu untuk turun ke jalan-raya mencuba kekerasan lengan dan otot dengan strategi diatur oleh segolongan guru dan pentadbir menara ilmu yang sembunyi tangan selepas membaling, tidak sekali-kali mewakili tradisi menara ilmu, sebaliknya mewarisi tradisi kolesium perlawanan haiwan dengan haiwan, haiwan dengan manusia dan manusia melawan manusia untuk tontonan.

Mereka ialah wakil golongan barbarik yang membenarkan diri mereka dipersenda dan diketawakan oleh golongan elit politik yang sadis.

Orang yang cintakan ilmu tentu pernah membaca bagaimana Socrates yang mempunyai beberapa pilihan seperti lari meninggalkan negaranya, bangun melawan atau sedia meminum racun yang dipaksakan demi mempertahan kepercayaan ilmu yang dipegangnya.

Socrates berkata, jika dia lari atau bersuaka di tempat lain, dia menganggap dirinya sebagai manusia yang takutkan mati dan dengan itu dia bukanlah seorang ahli falsafah yang tulen. Jika dia lari bersuaka di tempat lain dia yakin jika dia terus berpegang kepada yang benar dan dipercayainya dia akan terus menyoal di tempat dia bersuaka itu dan persimpangan yang sedang dihadapinya akan tetap berulang, kecualilah jika dia sanggup menipu dirinya dan orang lain.

Sebaliknya Socrates berkata, jika dia sanggup tinggal di bumi yang dipijaknya ketika itu dia hendaklah setia dengan undang-undang bumi itu, meskipun dia mungkin tidak setuju dengannya, dan dengan sebab itu dia disakiti.

Katanya, itulah 'kontrak sosial' antara dirinya, ideanya dan negara. Mencederakan negara kerana idealismenya walau dia merasakannya benar tidak boleh sama sekali dilakukan orang yang berpegang kepada kepercayaan tentang adanya kontrak negara bangsa. Akhirnya, Socrates diminumkan racun yang meragut nyawanya demi idealisme dan demi negara bangsanya.

Di manakah pendirian masyarakat menara ilmu? Ke manakah perginya guru-guru besar yang berilmu di universiti sehingga mereka memejamkan mata membiarkan calon-calon 'Aristotle' dan 'Plato' ditarik oleh elit-elit politik untuk keluar ke jalan-raya dijadikan boneka dan bahan mainan di medan kolesium yang berpaksikan kekuatan lengan dan betis dan bukan berpaksikan kekuatan otak dan fikiran?

Tidakkah tradisi menara ilmu yang sebegini yang wajar dipertahankan sebelum para guru besar universiti menuntut pelbagai jenama baru di bawah payung induk 'kebebasan akademik'.

Wajarkah guru-guru besar di universiti yang mengaku berilmu membiarkan melihat sahaja dan menunggu kesudahan kemelut yang menjulingkan kebenaran tradisi kebebasan akademik itu?

Tidakkah orang universiti ingat bahawa permulaan kepada apa yang dikatakan kebangkitan emansipasi orang muda di kampus pada tahun 50an dan 60an bukan tulen berasal daripada tradisi ilmu sebaliknya tradisi hippi yang tidak langsung berkaitan dengan keunggulan ilmu.

Adakah Socrates seorang yang pengecut berperang? Tidak sama sekali, sebaliknya Socrates pernah menjalani khidmat negara sebagai tentera Athenian di dalam perang Potidaea, Amphipolis dan Delium.

Namun sekali dia telah memilih kakinya memijak dunia ilmu, semangat perwiranya tidak lagi disalurkan melalui kekuatan lengan dan otot. Keberanian dan ketabahan Socrates menerima hukuman meminum racun menyebabkan baton tradisi ilmu itu disambut dengan lancar dan jelas oleh Plato, Aristotle dan Xenophone dan Aristophanes.

Tidak ada kekeliruan perbezaan otot lengan dengan kekuatan fikiran dan otak dalam tradisi ilmu dan falsafah. Demikian juga dengan tafsiran kontrak sosial kenegaraan yang begitu jelas kepada orang berilmu seperti Socrates yang sepatutnya menjadi asas tafsiran buku demokrasi bukan tafsiran demokrasi jalanan yang menghunus kekuatan dan keagungan kuasa buku lima.

Dalam tradisi alam Melayu, tradisi ilmu Hamzah Fansuri yang tidak diterima oleh penguasa semasa tidak mendorong ilmuwan seperti Hamzah Fansuri mengangkat lengan, apa lagi mendorong pengikutnya seperti Syamsudin Al-Sumatrani membawa rakan-rakannya ke jalan-raya untuk mempropagasikan idea penentangan Hamzah Fansuri.

Hamzah Fansuri berpesan : Silan itu ombaknya kisah, banyaklah akan ke sana berpindah, topan dan ribut terlalu 'azamah, perbetuli pedoman jangan berubah. Amat penting supaya orang di menara ilmu mempunyai pedoman yang jelas tentang pendirian orang berilmu dan sentiasa kuat berpegang kepada disiplin dan tradisi itu supaya tidak nanti universiti bertukar daripada konsep stadium ilmu kepada sebuah kolesium.

Orang di menara ilmu dibayangkan berbeza melihat sesuatu berbanding orang jalanan seperti pesanan Hamzah Fansuri lagi: Hai sekalian kita yang kurang, nafsumu itu lawan berperang, jangan hendak lebih baiklah kurang, janganlah sama dengan orang. Bolehkah orang universiti menjadi Socrates atau sekurang-kurangnya ayah Dayang yang tidak terus merejam lembingnya?

Jangan heret rakyat berdemonstrasi

– Ahli Jawatankuasa Pas Pusat, Datuk Dr. Hasan Mohd. Ali menegaskan adalah tidak wajar rakyat diheret menyertai perhimpunan haram Kempen Bebaskan Anwar 901 semata-mata bagi mempertahankan isu peribadi Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau yang tidak rela anak-anak muda diheret sama, turut membidas Pesuruhjaya Pas negeri, Dr. Abdul Rani Osman yang menggesa ahli parti itu untuk menyertai perhimpunan tersebut sedangkan tiada arahan khusus dibuat oleh pimpinan di peringkat pusat.

‘‘Pas Selangor nampaknya begitu proaktif atas sebab yang salah, kalau sebab yang betul tidak mengapa. Kalau saudara melihat Ketua Penerangannya terlalu proaktif sehingga mendahului pimpinan di peringkat atasan, Pesuruhjaya negeri pun saya rasa dia membelakangi pandangan pimpinan pusat.

‘‘Saya rasa jemputan Dr. Abdul Rani supaya ahli dan pendokong Pas hadir bersama-sama dalam perhimpunan tersebut, saya katakan itu pendapat peribadi. Itu bukan pendapat daripada Pas negeri, maklumat yang saya terima bahawa pimpinan di peringkat Pas negeri, sama ada Dewan Harian ataupun Perhubungan Negeri seluruhnya tidak tahu pun kenyataan Dr. Abdul Rani.

‘‘Saya rasakan perkara besar seperti ini, perhimpunan itu bukan saja matlamat, tujuan dan hakikatnya besar, maka sebab itu satu orang sahaja tidak boleh membuat keputusan untuk melaungkan kepada orang lain,” katanya kepada pemberita di pejabat Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di sini hari ini.

Beliau ditanya mengenai kenyataan Dr. Abdul Rani yang meminta anggota Pas di negeri ini turut sama menyertai perhimpunan Kempen Bebaskan Anwar 901, Isnin ini.

Terdahulu Hasan yang juga Exco Hal Ehwal Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam negeri memberikan sidang media mengenai operasi khas JAIS di seluruh sembilan daerah yang diketuainya pada malam 31 Disember dan malam tahun baru minggu lalu bagi membanteras kegiatan meminum arak, khalwat dan zina di kalangan masyarakat Islam.

Hasan bimbang perhimpunan 901 memberi implikasi kepada anak-anak muda dan remaja yang tidak tahu mengenai persoalan sebenar dan arah tuju parti untuk membawa golongan tersebut.

‘‘Kalau hendak menjadi orang Pas, dia cukup dengan menjadi warganegara, Islam, akil baligh. Maknanya daripada remaja sangat muda, awal-awal remaja, kalau kita minta remaja tingkatan satu tingkatan dua, kalau kita seru pergi ke tempat itu, tanpa mengetahui tentang apa yang sebenarnya, saya bimbang ke arah mana kita hendak membawa mereka ?

‘‘Kita hendak menjadikan mereka sebagai warganegara yang betul-betul dapat mencerminkan mereka membawa bendera kecemerlangan yang selalu saya sebutkan sejak lebih 35 tahun lalu,” katanya.

Beliau turut mempersoalkan sikap Dr. Abdul Rani melarang ahli Pas menyertai Himpun sedangkan ia membincangkan tentang akidah Islamiah yang merupakan asas perjuangan Pas sebaliknya menggesa anggota parti menyertai perhimpunan haram 901 yang tidak membabitkan dasar perjuangan parti Islam itu.

‘‘Kalau boleh, saya lebih tua daripada pesuruhjaya yang ada sekarang, saya hendak nasihatkan supaya kena amati betul-betul jejak minda dan pemerhatian perlu dilakukan kerana implikasinya besar,” katanya

MM: Hasan Ali dah sedar, bagaimana dengan pemimpin Islam yang lain?

Thursday, January 5, 2012

Pas tidak boleh diharap!!!!!!!

Derma selamatkan Madrasah Salihiah
ALOR SETAR 4 Jan. - Kesungguhan Badan Bertindak Selamatkan Madrasah Salihiah (BBSMS) mempertahankan Madrasah Salihiah di sini daripada dirobohkan, semakin memuncak menerusi kempen mengumpul dana bagi menebus semula tanah wakaf khas berusia lebih 100 tahun itu.

Gerakan itu bertujuan mengumpul derma ikhlas daripada rakyat negara ini dengan sasaran RM1.48 juta untuk 'membeli semula' geran tanah wakaf berkenaan dan menyelamatkan madrasah daripada dirobohkan semata-mata bagi memberi laluan kepada projek pembangunan.

Pengerusi BBSMS, Mansor Ahmad berkata, hasil sumbangan itu akan diserahkan kepada Majlis Agama Islam Kedah (MAIK) untuk menebus kembali geran tanah wakaf yang telah diserahkan kepada pemaju.

Jika MAIK menolak wang itu katanya, hasil kutipan dana akan dimanfaatkan untuk mengembangkan syiar Islam, termasuk membina lebih banyak lagi surau di negeri ini.

"Kempen ini bukan kerana mahu mencari keuntungan tetapi semata-mata untuk mempertahankan madrasah selain dapat mengembangkan jariah demi kepentingan umat Islam.

"Sumbangan ikhlas orang ramai amat dialu-alukan," katanya kepada pemberita di sini hari ini.

Katanya, orang ramai boleh menderma ke akaun Bank Islam bernombor 02011020349972 atas nama Madrasah Salihiah Kanchut.

Katanya, sumbangan boleh dibuat terus ke dalam akaun itu kerana pihaknya belum melantik mana-mana wakil untuk membuat kutipan bagi mengelakkan unsur-unsur yang boleh menimbulkan syak terhadap keikhlasan jawatan kuasa bertindak tersebut mengumpul dana.

"Kutipan derma menerusi khidmat pesanan ringkas (SMS) sedang dalam perbincangan kerana pihak kami perlu menyelesaikan beberapa perkara berkaitan," katanya.

Sementara itu, Mansor juga membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi menggesa siasatan dibuat berhubung isu merobohkan Madrasah Salihiah di sini.

Laporan itu dibuat di pejabat SPRM negeri kira-kira pukul 11 pagi dengan ditemani 15 ahli jawatankuasa bertindak berkenaan.

Mansor berkata, pihaknya mahu SPRM menyiasat ketelusan kerajaan negeri dan beberapa badan terlibat dalam isu tersebut, termasuk mengenai penjualan tanah wakaf khas yang didirikan madrasah itu bagi memberi laluan kepada projek pembangunan bernilai RM500 juta.

MM: Nampaknya rakyat Kedah tertipu lagi. PRU 12, mereka telah memilih Pas untuk memerintah Kedah. Mereka berharap dengan Pas memerintah, kehidupan mereka akan terjamin. Rupa-rupanya telahan mereka silap. Kini kerajaan negeri Kedah cuba untuk merobohkan sebuah madrasah yang telah berusia 100 tahun. Madrasah ini adalah salah satunya tempat untuk umat Islam menimba ilmu dan beribadat tetapi tidak lama lagi ianya akan tinggal nama sahaja jika umat Islam tidak berbuat sesuatu.

Pas di tipu lagi

Pembangkang tidak akan laksana hudud

Oleh MOHD. ASRON MUSTAPHA
mohdasron.mustapha@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 4 Jan. - Ketika Pas bermati-matian menyokong kempen bebaskan Datuk Seri Anwar Ibrahim, Ketua Pembangkang itu dalam satu wawancara bersama akhbar berbahasa Cina, Sinchew Daily mendedahkan, pembangkang tidak akan sesekali melaksanakan hukum hudud yang diperjuangkan Pas.

Malah, di sebalik ikrar Pas mahu melaksanakan hukum hudud di negara ini sehingga sanggup mengkafir kerajaan sedia ada, Anwar secara terbuka mengakui belum ada sebarang kata sepakat dalam pakatan pembangkang untuk menggubal Perlembagaan Persekutuan bagi membolehkan hukum hudud dilaksanakan.

"Apabila Pakatan Rakyat memerintah kerajaan Pusat, kita tidak akan sesekali melaksanakan undang-undang Islam ataupun mengubah undang-undang Persekutuan sedia ada untuk merealisasikan hukum hudud walaupun secara peribadi, saya tidak membantah hukum hudud.

"Kefahaman orang Muslim (terhadap hukum hudud) berbeza-beza dan tidak sama. Ada sesetengah orang Muslim melihat hukum hudud itu mampu mendidik, perikemanusiaan, adil serta menjaga orang-orang miskin dan bukannya melaksanakan hukuman semata-mata," katanya seperti mana dipetik dari Sinchew Daily.

Sempena 'Kempen Bebaskan Anwar 901' pada Isnin ini bagi memberi tekanan kepada mahkamah agar membebaskan Ketua Pembangkang itu daripada disabitkan dengan kesalahan meliwat pembantu peribadinya, Mohd. Saiful Bukhari Azlan, Pas dijangka menjadi penyumbang terbesar dari segi bilangan peserta demonstrasi.

Ia sebagai melambangkan komitmen parti yang mendakwa diri mereka sebagai parti Islam itu terhadap Anwar, walaupun Ketua Pembangkang berkenaan terpalit dengan pelbagai masalah moral termasuk pendedahan video aksi seks seorang lelaki menyerupai Anwar, yang disahkan 99.9 tulen oleh pakar Amerika Syarikat.

Dalam wawancara itu, Anwar berkata, sebarang perubahan terhadap undang-undang Persekutuan terutamanya untuk melaksanakan hukum hudud seperti yang diperjuang Pas hanya akan dibuat jika mendapat persetujuan sebulat suara ketiga-tiga parti komponen dalam pakatan.

"Dalam isu hukum hudud, kita masih perlu membuat lebih banyak penerangan kepada orang-orang Islam dan orang-orang bukan Islam supaya mereka lebih memahami tujuan serta wajah sebenar hukum hudud dan bukan hanya melihat hukum itu sahaja," katanya lagi.


MM: Rupa-rupanya nada Kapal Sing dan Nuar adalah sama, jangan harap Pas nak melaksanakan hukum hudud kerana pemimpin Pas boleh diperbodohkan oleh PKR dan Dap. Cuma tiada ungkapan "LANGKAH MAYAT SAYA DULU" DARI MULUT Nuar. Masa kan Nuar nak laksanakan hudud sebab dia pun bukan bersih sangat. Kawan teringat kata-kata pemimpin Pas suatu ketika dulu, 'PR telah memahami dan setuju dengan hudud, bukan macam UMNO yang menolak hudud'. Apa dah jadi sekarang? Inilah yang dikatakan 'tidur sebantal, mimpi lain-lain'. Selamat berjuang Pas.

Wednesday, January 4, 2012

Azmin cabar undang-undang...

- Tindakan Azmin Ali untuk meneruskan perhimpunan haram Kempen Bebas Anwar 901 menunjukkan Timbalan Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu menderhaka terhadap Yang di-Pertuan Agong kerana mencabar kedaulatan undang-undang secara terbuka.

Presiden Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Datuk Ibrahim Ali berkata, tindakan Azmin itu jelas menghasut dan menghina mahkamah.

"Kenyataan Azmin amat biadab serta angkuh tanpa mempedulikan 'rule of law' dan mencabar undang-undang negara. Perisytiharan seumpama itu boleh ditafsirkan sebagai menderhaka kepada Yang di-Pertuan Agong, mencabar serta menghina hakim serta negara,'' katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

MM: "ADA AKU KISAH". Itulah jawapan yang akan kita dengar jika kita bertanya kepada mereka-mereka yang bodoh dan kurang ajar ini. DSAI, inilah orangnya yang mengajar rakyat Malaysia terutamnya orang-orang Melayu yang dulunya amat menghormati orang-orang tua, sanggup bermatian mempertahankan Institusi Raja-Raja Melayu, menjadi begitu kurang ajar dan biadap. Demokrasi apa yang mereka mahukan, mereka boleh kurang ajar dengan orang, tetapi orang tidak boleh berkasar dengan mereka, dasar muka tak tahu malu. Mahasiswa, mereka yang belajar di MENARA GADING sepatutnya menjadi orang yang cerdik tetapi rupa-rupanya seperti budak tadika, bagai lembu dicucuk hidung, mengikut telunjuk pembangkang membuta tuli tanpa mengetahui agenda sebenar orang yang bernama DSAI. Rakyat yang cintakan negara bertuah ini mahu PIHAK POLIS bertindak tegas..jangan benarkan mereka menjadikan negara ini huru hara hanya kerana orang tua yang tidak sedar diri itu....

Pendedahan dokumen awam pra operasi Lynas.

Pelbagai reaksi diberikan orang ramai pada hari pertama pendedahan awam dokumen bagi permohonan lesen peringkat pengendalian sementara nadir bumi oleh Lynas (M) Sdn. Bhd. di Pejabat Setiausaha Kerajaan Negeri di sini hari ini.

Tinjauan Utusan Malaysia mendapati rata-rata pengunjung memberi reaksi positif tetapi ada juga yang menyatakan tidak jelas dengan perkara itu.

Dokumen berkenaan diterima Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (LPTA) daripada syarikat Lynas semalam yang kini beroperasi di Gebeng.

Antara yang hadir untuk meneliti dokumen setebal empat inci itu ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Semambu, Datuk Pang Tsu Ming dan Ketua Pemuda MCA Bahagian Indera Mahkota, David Choi.

Tsu Ming berkata, pendedahan awam dokumen itu adalah langkah yang baik dan kerajaan tidak menyembunyikan apa-apa fakta berkenaan pengendalian kilang berkenaan.

"Pendedahan itu adalah satu langkah yang menunjukkan kerajaan benar-benar prihatin dan mendengar suara rakyat.

"Keikhlasan kerajaan dalam membela nasib rakyat tidak perlu dipertikaikan kerana bukan sehari dokumen itu dipamerkan tetapi sepanjang minggu ini," katanya di sini.

Dalam pada itu, David menyatakan rasa tidak puas hati kerana mereka yang hadir tidak memahami beberapa perkara teknikal yang didedahkan dalam dokumen berkenaan.

"Kebanyakan yang hadir bukan golongan profesional dan tak semua tahu sama ada ia bahaya atau tidak. Jadi, kita perlukan masa untuk berbincang sebelum memberi sebarang ulasan," katanya.

MM: Kawan harap mereka-mereka yang gemar berdemo pasal Lynas terutamanya Ahli Parlimen Kuantan dapat pergi ke Pejabat SUK Negeri Pahang dan baca dokumen tentang Lynas. Dan kepada pengikut-pengikut beliau juga, kawan sarankan dapatkan dokumen tersebut, jangan berdemo tak tentu pasal.

Tuesday, January 3, 2012

Jangan sertai perhimpunan....

'Jangan Sertai Perhimpunan', itu nasihat pihak polis kepada mereka-mereka yang berniat untuk menyertai perhimpunan Bebaskan Anwar 901 pada 9 Januari 2012. Perhimpunan ini di rancang sempena keputusan kes liwat DSAI pada tarikh tersebut. Kawan sebenarnya tak faham dengan pembangkang kerana ramai di kalangan mereka adalah peguam-peguam yang terkenal dan kononnya bijaksana tetapi membisu apabila perhimpunan yang sah haramnya ingin dijalankan oleh orang-orang mereka. Kononnya untuk menegakkan keadilan tetapi mereka sendiri yang melanggar undang-undang. Nampaknya, pembangkang cuba menghidupkan undang-undang rimba di negara ini. Kawan rasa, kalau mereka dapat memerintah negara ini, tentunya setiap hari ada sahaja perhimpunan jalanan akan diadakan. Kawan harap mereka yang teringin nak berdemo tu, simpan lah hasrat tu. Jangan jadikan Malaysia seperti beberapa negara Arab, kononnya untuk menukar pemimpin negara yang zalim tetapi hingga kini negara mereka tidak pernah aman. Itu semua adalah kerana mereka-mereka semua gila kuasa tanpa memikirkan kehancuran yang bakal dialami oleh negara mereka. Jadilah orang yang bertamadun.....

Kes UPSI : Kemukakan bukti

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Semua pihak yang tidak berpuas hati dengan insiden perhimpunan haram di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini, digesa tampil dengan bukti masing-masing.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu wajar bagi mengelak timbulnya sebarang fitnah berikutan insiden tersebut.

Walaupun tidak menafikan hak mahasiswa bersuara, namun beliau mahu golongan tersebut menggunakan saluran dan cara yang sesuai.

“Banyak saluran betul yang boleh digunakan. Contohnya, menerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin meminta semua pihak agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung insiden tersebut.

“Saya bimbang berlaku fitnah kerana terdapat banyak kenyataan dan istilah tertentu yang digunakan oleh pelbagai pihak ini tidak tepat dan sesuai,’’ katanya.

Berhubung tindakan pihak berkuasa terhadap mahasiswa berkenaan, beliau menegaskan, pihak polis mempunyai tanggungjawab menjaga keamanan dengan cara tertentu.

“Saya yakin tiada permusuhan antara pihak polis dan mahasiswa,’’ katanya.

MM: Masa nak buat demo, bukan main berani lagi. Tapi bila kena sikit dah meraung. Lepas tu menyalahkan pihak berkuasa. Kepada para mahasiswa, cuba anda semua lihat tindakan pihak berkuasa di luarnegara, peserta demonstrasi di belasah dengan teruk. Sebenarnya mahasiswa seperti mereka inilah yang merugikan negara. Kalau rasa-rasa nak berpolitik, berhenti belajar, ramai lagi pelajar yang lebih layak dari kamu semua.

Monday, January 2, 2012

Lynas : Kadar radiasi lebih rendah dari TV

MUNGKIN ramai yang tidak tahu dengan tidur bersebelahan seseorang selama lapan jam sehari untuk tempoh setahun boleh menyebabkan manusia terdedah dengan radiasi sebanyak 0.02mSv (milisieverts).

Malah banyak lagi aktiviti yang menyebabkan pendedahan radiasi seperti dialami krew penerbangan yang selama setahun terdedah dengan radiasi sebanyak 9 mSv.

Ini bukan bermakna seseorang itu perlu tidur sendirian atau meletak jawatan sebagai pramugari hanya untuk mengelakkan daripada terdedah dengan radiasi dan seterusnya menghindari kanser.

Seperti mana pil sakit kepala jenama terkenal, ia adalah ubat jika dimakan pada dos yang betul. Sebaliknya boleh mendatangkan bahaya jika melebihi sukatan yang dibenarkan.

Maka begitu juga dengan radiasi. Ia tidak akan menyebabkan seseorang mendapat kanser jika paras pendedahan berada pada tahap yang selamat.

Malah, radiasi juga boleh disebabkan sumber semula jadi merangkumi matahari, udara, makanan serta unsur-unsur semula jadi bumi.

Mengulas perkara ini, Pensyarah Program Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Ismail Bahari berkata, kerana maklumat yang salah masyarakat secara umumnya akan membayangkan radiasi dengan kesan bom atom di Hiroshima, tragedi letupan loji nuklear Chernobyl dan terbaru di Fukushima.

Hakikatnya kata beliau, pendedahan radiasi ada di mana-mana malah berada di dalam rumah juga membolehkan seseorang itu terdedah kepada radiasi.

‘‘Kalau sebut radiasi, terbayang kemudaratan besar, teringat tragedi Chernobyl dan Fukushima. Itu tidak tepat.

‘‘Begitu juga dengan Lynas. Bila umum nak buat kilang proses nadir bumi, ada yang membantah dan paling dikesali segelintir pemimpin politik memutarbelitkan rakyat,” ujarnya yang merupakan Penasihat Keselamatan Radilogi Lynas.

Apa yang ditegaskan Dr. Ismail itu berdasarkan kajian yang menunjukkan radiasi hanya membahayakan manusia apabila ia melebihi paras tertentu dengan 100 mSv boleh menyebabkan meningkatnya risiko mendapat kanser.

Untuk terdedah kepada keadaan seperti itu amat jarang berlaku kecuali jika ada bencana seperti yang berlaku setelah loji nuklear Fukushima.

Tambah Dr. Ismail, operasi Lynas hanya akan menyebabkan pendedahan radiasi kepada orang awam sebanyak 0.002mSv setahun dan ia 10 kali lebih rendah berbanding pendedahan radiasi menonton televisyen selama empat jam sehari untuk tempoh setahun.

Malah pendedahan radiasi kepada paru-paru apabila merokok sekotak sehari setiap hari selama setahun adalah 150 mSv atau 75,000 kali ganda lebih tinggi berbanding pendedahan radiasi daripada operasi Lynas.

‘‘Ini adalah fakta berdasarkan kajian terperinci kita mengikut kaedah antarabangsa. Ia boleh dibuktikan. Namun setakat ini tidak ada satu pihak pun yang membangkang tampil menyanggah kajian ini secara saintifik.

‘‘Mereka hanya asyik kelirukan rakyat mendakwa Lynas tidak boleh dibenarkan, tohmah mendatangkan bahaya kepada penduduk. Saya cabar kumpulan ini bawa mana-mana profesor dalam bidang sains nuklear yang boleh membuktikan operasi Lynas berbahaya, saya sanggup berundur,” tegasnya.

Malah tidak lama dahulu, Ahli Parlimen Pas, Dr. Che Rosli Che Mat yang juga ahli sains nuklear mengakui projek itu tidak berbahaya kepada kepada penduduk.

‘‘Malah seorang lagi pakar kesan sinaran daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Tarmizi Ramli juga menegaskan Lynas tidak berbahaya. Ini yang saya katakan, masyarakat dikelirukan. Mereka bukan tidak ada informasi, tetapi telah dikelirukan oleh pihak yang berkepentingan.

Ditanya mengenai dakwaan beberapa doktor perubatan yang bersama kumpulan itu membantah projek Lynas, Dr. Ismail berkata, beliau menyedari perkara itu dan pernah bertemu dengan doktor perubatan tersebut.

Namun katanya, doktor-doktor itu termasuk seorang pakar mata tidak pernah tampilkan kajian menunjukkan kilang memproses nadir bumi seperti Lynas akan meningkatkan radiasi sehingga ke tahap memudaratkan.

‘‘Bidang ini tak perlu doktor nak tahu selamat atau bahaya. Kalau paras radiasi itu tinggi melepasi tahap-tahap tertentu, kita tahu ia berisiko kepada kesihatan.

“Namun jika nak tahu berapa paras pendedahan radiasi akibat sesuatu aktiviti, yang boleh bercakap adalah pakar radiologi biologi. Bukan doktor perubatan.

‘‘Macam bahan kimia, kalau lebih ia beracun. Yang boleh tentukan takat mana beracun, takat mana selamat, bukan doktor tapi pakar toksikologi,” katanya.

Sains membuktikan radiasi ada di mana-mana termasuk ketika berada di dalam rumah. Sebab itu undang-undang tempatan mahupun antarabangsa menetapkan pendedahan radiasi kepada manusia tidak boleh melebihi 1.0 mSv setahun manakala pekerja sinaran pula tidak melebihi 20 mSv setahun.

‘‘Justeru, soalnya sama ada ia lebih had atau tidak. Untuk Lynas, jawapannya tidak. Lynas selamat. Pendedahan radiasi Lynas untuk orang awam selama setahun ialah 0.002mSv.

‘‘Malah untuk mereka yang bekerja di kilang Lynas juga adalah 2 mSv sahaja, jauh daripada tahap bahaya” jelas Dr. Ismail.

Menurut beliau, projek Lynas bukan pengalaman pertamanya berdepan dengan operasi kilang seperti itu kerana sebelum ini beliau juga pernah menjalankan kajian antaranya di daerah Kemaman berhubung operasi kilang memproses amang.

‘‘Kilang itu telah wujud lebih 10 tahun. Namun tidak pun mendatangkan kemudaratan kepada penduduk dan alam sekitar walaupun amang lebih tinggi radiasinya.

‘‘Begitu juga di Pulau Pinang, kawasan Stadium Bandar Raya mempunyai banyak tantalum yang mempunyai radioktif. Namun apakah pernah didengar yang ia mengancam kesihatan,” soalnya.

Pastinya kata Dr. Ismail, radioaktif dan radiasi itu wujud di sekeliling manusia. Namun jika ia berada pada tahap rendah maka ia bukan sesuatu yang membahayakan.

‘‘Lynas sendiri menggunakan teknologi terkini dalam operasinya mengikut undang-undang antarabangsa dan Malaysia dengan mengambil kira semua keadaan bagi menjamin ia selamat kepada kesihatan awam, pekerja dan alam sekitar.

‘‘Di Lynas, tak ada sebab ia akan mendatangkan kesan radiasi tinggi. Ini kilang kimia biasa bukan kilang nuklear. Ia juga tidak mempunyai tekanan. Maka ia tak akan meletup seperti didakwa.

‘‘Bahan sisa Lynas sendiri mengandungi kadar radioaktif yang teramat rendah dan tidak berbahaya. Malah Lynas melalui makmal antarabangsa telah berjaya menurunkan lagi kadar radioaktif dalam sisa,” katanya


MM; Sebenarnya isu ini sengaja di manipulasi oleh pihak pembangkang untuk meraih sokongan. Rakyat yang tidak tahu apa-apa diarak ke sana sini mengikut mereka-mereka yang berkepentingan. Mereka yang ikut berdemo tu sebenarnya tak tahu apa-apa. Atau mungkinkah jika projek ini dibatalkan, ada yang akan mendapat habuan?

Hudud Pas dipertikai

MACHANG 1 Jan. - Bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad, 86, hari ini tampil menjelaskan bahawa hukum hudud yang diperjuangkan Pas tidak lagi berlandaskan al-Quran dan hadis.

Beliau mendakwa, ia telah dipinda pada 1993 susulan daripada kerjasama antara Pas, Semangat 46 (S46), DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Umum 1990.

Dakwa beliau, pada Pilihan Raya Umum 1986, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ketika itu Pesuruhjaya Pas Kelantan telah mengeluarkan manifesto antara lain pelaksanaan undang-undang Islam yang turut berkuat kuasa ke atas orang bukan Islam.

Wan Ismail yang pernah ditahan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkata, tafsiran hukum hudud itu bagaimanapun telah dipinda oleh Nik Abdul Aziz pada 25 November 1993 semasa beliau menyandang jawatan Menteri Besar Kelantan.

Pindaan itu dakwanya, dilakukan dengan kerjasama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ketika itu Pengerusi Jawatankuasa Penggubal Kanun Jenayah Syariah (II) sebelum diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dakwa Wan Ismail, melalui pindaan itu, hukuman hudud tidak akan dikenakan kepada masyarakat bukan Islam dan hudud kepada orang bukan Islam tidak termasuk dalam perkara yang dinaskan al-Quran dan hadis.

"Di sinilah bermula perbezaannya. Asalnya pada 1986 dalam muka surat lima manifesto dinyatakan iaitu menguatkuasakan undang-undang Islam di seluruh negeri dengan tidak meletakkan perbezaan atas sebab-sebab berlainan keturunan, bangsa, agama dan pangkat kecuali perkara berhubung dengan ibadat dan undang-undang kekeluargaan.

"Dalam muka surat 24 pula dinyatakan bahawa hak-hak orang bukan Islam sama sahaja di sisi undang-undang jenayah dan sivil dengan orang-orang Islam dan ini adalah hudud sebenar berlandaskan Islam.

"Pada 1986 Pas masih di atas dasar asal bahawa hudud mesti dikenakan kepada semua manusia yang melakukan kesalahan tetapi selepas Nik Abdul Aziz jadi Menteri Besar masalah hudud telah bercelaru menjadi dalca," dakwanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, penjelasan mengenai hukum hudud boleh dirujuk di dalam al-Quran melalui ayat 58 dan 105 Surah An-Nisa dan ayat 49 Surah Al-Maidah.

Wan Ismail mendakwa, beliau telah dipecat daripada Pas pada 1986 kerana menentang pakatan parti itu dengan S46.

Malah dakwanya, pada 1995 beliau telah menulis sebuah buku menjelaskan mengenai hudud dan diserahkan kepada Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi.

Namun, sehingga hari ini kedua-dua pemimpin itu hanya berdiam diri.

Katanya, kecelaruan berlaku dalam Pas kerana para pemimpinnya sekarang membelakangi perjuangan asal parti meskipun ramai yang tahu.

"Namun mereka membisu kerana takut dicemuh oleh golongan fanatik selain tidak mahu dikenakan tindakan disiplin," katanya

MM: Nampaknya makin ramai orang Pas yang sedar. Mereka mulai sedar bahawa selama ini mereka ditipu oleh mereka-mereka yang gila kuasa. Apa yang dikatakan oleh Wan Ismail sama seperti yang disuarakan oleh Hasan Ali dalam sebuah rancangan tv baru-baru ini. Rupa-rupanya lakonan pemimpin Pas lebih hebat dari lakonan pemimpin BN. Ahli Pas yang tak tahu hujung pangkal, ditipu hidup-hidup oleh pemimpin mereka yang terang-terang gila kuasa..

Maksiat menjadi-jadi di Selangor..

SHAH ALAM 1 Jan. - Seramai 52 individu ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu serbuan cegah maksiat yang diadakan pada sambutan tahun baru malam semalam.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Nur Hamizah Othman berkata, kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan berkhalwat di beberapa hotel murah yang diserbu di sekitar Shah Alam dan Serdang bermula dari pukul 1 pagi hingga 5 pagi tadi.

Beliau berkata, sebanyak 11 hotel bajet telah diserbu dalam operasi yang dikenali sebagai Ops Anti-Zina dan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali itu


MM: Khalid Samad tak nak komen apa-apa ke?

Roboh lagi???

PKR ketepi pembangunan modal insan

Oleh MD. AZRIN ROSLY
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Tindakan Yayasan Selangor di bawah kepimpinan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tetap mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor di sini, menunjukkan mereka lebih mementingkan soal ekonomi daripada pembangunan modal insan.

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, tindakan itu hanya menunjukkan wajah sebenar kerajaan negeri yang mendakwa memperjuangkan keadilan serta kebajikan untuk rakyat.

"Peliknya, mengapa asrama berkenaan yang menyediakan peluang pendidikan kepada anak- anak luar bandar Selangor yang kurang berkemampuan dan miskin untuk dihantar ke sekolah kawalan di bandar yang baik, hendak dihentikan?

"Kerajaan negeri sanggup menggadaikan kebajikan masyarakat luar bandar demi keuntungan jangka pendek berbanding pembangunan modal insan yang sangat penting bagi jangka panjang," kata beliau.

Kelmarin, Gerakan Saya Anak Yayasan Selangor (GSAYS) memaklumkan ruang perbincangan dengan pihak berkenaan agar menimbang semula keputusan merobohkan asrama itu telah tertutup apabila Yayasan Selangor membuka tender kepada pemaju yang berminat untuk membangunkan tanah tapak asrama yang akan dirobohkan nanti.

Lebih mengecewakan, pihak Yayasan Selangor atau kerajaan negeri dikatakan tidak menyediakan alternatif untuk membina asrama baru bagi menggantikan asrama yang akan dirobohkan itu nanti.

Tambah Syed Anuar, rakyat perlu menilai semula kerajaan negeri yang telah diberikan mandat untuk memerintah itu tetapi gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan menghukum mereka dalam pilihan raya akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, perkembangan terbaru tersebut merupakan berita dukacita kepada warga pendidik kerana asrama seperti itu sepatutnya diperbanyakkan, bukan dikurangkan.

"Langkah mengutamakan keuntungan dan kebendaan itu dilihat tidak selari dengan pembangunan insan serta usaha kerajaan untuk memberi peluang kepada pelajar luar bandar menuntut di sekolah ternama di kawasan bandar.

"Saya kira asrama ini sudah ada sejak tahun 1970-an lagi dan sudah beribu-ribu pelajar asrama itu yang telah mendapat manfaat," ujarnya.

Alimuddin yang merupakan bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, Yayasan Selangor perlu menyediakan asrama baru yang lebih baik bagi menampung lebih banyak pelajar di tempat lain jika mereka tetap mahu merobohkan asrama tersebut

MM: Selepas Madrasah Salihiah kini Yayasan Selangor. Lepas ni mana pula? Kawan nak tunggu apa komen Hassan Ali.

Sunday, January 1, 2012

Di mana bumi di pijak, di situ langit di junjung....

Perkara 153 dan buli

Bisik-Bisik Mingguan

TINDAKAN pemimpin tertinggi Gereja National Evangelica Christian Fellowship (NECF) Rev. Dr. Eu Hong Seng mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, menimbulkan pertanyaan apakah motif sebenarnya.

Hong Seng mendakwa Perkara 153 adalah menyerupai membuli jika ia hanya melindungi hak satu kumpulan. Dia menyatakan demikian pada majlis minum teh Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) sempena Hari Krismas yang turut dihadiri Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Sambutan Krismas sepatutnya dimanfaatkan untuk mengukuhkan lagi hubungan di kalangan penganut pelbagai agama di negara ini dan bukannya mengeluarkan kenyataan bersifat hasutan dan rasis. Awang percaya pandangannya itu bukan mencerminkan pemikiran seluruh penganut Kristian, yang memahami perlunya menjaga sensitiviti agama. Namun, ia dikhuatiri boleh menyemarakkan sentimen antiperlembagaan dalam kalangan rakyat. Hal seperti ini tidak pernah disentuh dalam khutbah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Bayangkan kalau kenyataan yang mempersoalkan hak kaum lain dilakukan oleh orang Melayu dan Islam, pasti akan diasak habis-habisan dengan pelbagai tuduhan dan tekanan.

Apa yang disuarakan oleh Hong Seng sudah keterlaluan. Dia sewajarnya bersyukur kerana penganut semua agama dapat hidup harmoni dan agama Kristian tetap berkembang subur walaupun Islam merupakan agama rasmi. Hong Seng telah melepaskan kesempatan terbaik untuk memenangi hati semua kaum terutama bumiputera, yang sebahagiannya juga terdiri daripada bukan Islam. Apatah lagi selama ini bumiputera telah banyak bertolak ansur untuk kesejahteraan kaum lain sehingga minoriti menguasai kekayaan ekonomi negara. Awang khuatir kenyataan seumpama itu akan memercikkan ekstremisme agama dan kaum, yang jika berlaku siapakah yang harus bertanggungjawab. Ia juga menampakkan kedangkalannya memahami perlembagaan secara menyeluruh. Perkara 153 sebenarnya turut memberi perlindungan kepada penganut agama lain sebagaimana terbukti selama ini.

Sudah terlalu banyak penjelasan dengan perspektif yang betul diberikan tetapi sengaja isu itu dimainkan sebagai satu lagi tekanan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Apa maknanya menjadi warganegara jika tidak memahami karakteristik dan asas kenegaraan tanah air sendiri. Pada Awang, Hong Seng perlu segera memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut. Jika dia tebal dengan agenda politik parti tertentu termasuk untuk menulis semula perlembagaan, jangan heret agama Kristian kepada kancah. Agama bukan dagangan. Sekiranya, Hong Seng enggan memohon maaf, Awang setuju dengan gesaan beberapa pihak agar dia berhijrah ke negara lain. Untuk apa lagi tinggal di negara ini, yang dia dakwa kaumnya tidak mendapat keadilan. Ribuan warga asing dan ekspatriat termasuk beragama Kristian setiap hari menanti peluang untuk tinggal di Malaysia. Mereka lebih tahu diuntung


MM: Eloknya dulu nama Persekutuan Tanah Melayu di kekalkan. Kesedaran rakyat Malaysia kini makin nipis. Disesetengah negara bukan Islam, orang Islam dinafikan hak memakai tudung dan beribadat. Kawan pun setuju atas saranan beberapa pihak agar sesiapa yang tak sedar diri, boleh angkat kaki, jangan cemarkan bumi Tanah Melayu yang tercinta ini. Sebelum ini ada pemimpin Melayu Islam mempertikaikan mengenai kedatangan kaum lain ke negara ini. Akibatnya, beliau di pinggir dan diambil tindakan. Kawan dan rakyat sedang menunggu apa tindakan yang akan diambil kepada paderi tersebut. Sedarlah, di mana bumi di pijak, di situ langit di junjung....