Tuesday, January 3, 2012

Jangan sertai perhimpunan....

'Jangan Sertai Perhimpunan', itu nasihat pihak polis kepada mereka-mereka yang berniat untuk menyertai perhimpunan Bebaskan Anwar 901 pada 9 Januari 2012. Perhimpunan ini di rancang sempena keputusan kes liwat DSAI pada tarikh tersebut. Kawan sebenarnya tak faham dengan pembangkang kerana ramai di kalangan mereka adalah peguam-peguam yang terkenal dan kononnya bijaksana tetapi membisu apabila perhimpunan yang sah haramnya ingin dijalankan oleh orang-orang mereka. Kononnya untuk menegakkan keadilan tetapi mereka sendiri yang melanggar undang-undang. Nampaknya, pembangkang cuba menghidupkan undang-undang rimba di negara ini. Kawan rasa, kalau mereka dapat memerintah negara ini, tentunya setiap hari ada sahaja perhimpunan jalanan akan diadakan. Kawan harap mereka yang teringin nak berdemo tu, simpan lah hasrat tu. Jangan jadikan Malaysia seperti beberapa negara Arab, kononnya untuk menukar pemimpin negara yang zalim tetapi hingga kini negara mereka tidak pernah aman. Itu semua adalah kerana mereka-mereka semua gila kuasa tanpa memikirkan kehancuran yang bakal dialami oleh negara mereka. Jadilah orang yang bertamadun.....

Kes UPSI : Kemukakan bukti

KUALA LUMPUR 2 Jan. – Semua pihak yang tidak berpuas hati dengan insiden perhimpunan haram di Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) baru-baru ini, digesa tampil dengan bukti masing-masing.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Saifuddin Abdullah berkata, langkah itu wajar bagi mengelak timbulnya sebarang fitnah berikutan insiden tersebut.

Walaupun tidak menafikan hak mahasiswa bersuara, namun beliau mahu golongan tersebut menggunakan saluran dan cara yang sesuai.

“Banyak saluran betul yang boleh digunakan. Contohnya, menerusi Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam),” katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Saifuddin meminta semua pihak agar berhati-hati dalam mengeluarkan kenyataan berhubung insiden tersebut.

“Saya bimbang berlaku fitnah kerana terdapat banyak kenyataan dan istilah tertentu yang digunakan oleh pelbagai pihak ini tidak tepat dan sesuai,’’ katanya.

Berhubung tindakan pihak berkuasa terhadap mahasiswa berkenaan, beliau menegaskan, pihak polis mempunyai tanggungjawab menjaga keamanan dengan cara tertentu.

“Saya yakin tiada permusuhan antara pihak polis dan mahasiswa,’’ katanya.

MM: Masa nak buat demo, bukan main berani lagi. Tapi bila kena sikit dah meraung. Lepas tu menyalahkan pihak berkuasa. Kepada para mahasiswa, cuba anda semua lihat tindakan pihak berkuasa di luarnegara, peserta demonstrasi di belasah dengan teruk. Sebenarnya mahasiswa seperti mereka inilah yang merugikan negara. Kalau rasa-rasa nak berpolitik, berhenti belajar, ramai lagi pelajar yang lebih layak dari kamu semua.

Monday, January 2, 2012

Lynas : Kadar radiasi lebih rendah dari TV

MUNGKIN ramai yang tidak tahu dengan tidur bersebelahan seseorang selama lapan jam sehari untuk tempoh setahun boleh menyebabkan manusia terdedah dengan radiasi sebanyak 0.02mSv (milisieverts).

Malah banyak lagi aktiviti yang menyebabkan pendedahan radiasi seperti dialami krew penerbangan yang selama setahun terdedah dengan radiasi sebanyak 9 mSv.

Ini bukan bermakna seseorang itu perlu tidur sendirian atau meletak jawatan sebagai pramugari hanya untuk mengelakkan daripada terdedah dengan radiasi dan seterusnya menghindari kanser.

Seperti mana pil sakit kepala jenama terkenal, ia adalah ubat jika dimakan pada dos yang betul. Sebaliknya boleh mendatangkan bahaya jika melebihi sukatan yang dibenarkan.

Maka begitu juga dengan radiasi. Ia tidak akan menyebabkan seseorang mendapat kanser jika paras pendedahan berada pada tahap yang selamat.

Malah, radiasi juga boleh disebabkan sumber semula jadi merangkumi matahari, udara, makanan serta unsur-unsur semula jadi bumi.

Mengulas perkara ini, Pensyarah Program Sains Nuklear Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Dr. Ismail Bahari berkata, kerana maklumat yang salah masyarakat secara umumnya akan membayangkan radiasi dengan kesan bom atom di Hiroshima, tragedi letupan loji nuklear Chernobyl dan terbaru di Fukushima.

Hakikatnya kata beliau, pendedahan radiasi ada di mana-mana malah berada di dalam rumah juga membolehkan seseorang itu terdedah kepada radiasi.

‘‘Kalau sebut radiasi, terbayang kemudaratan besar, teringat tragedi Chernobyl dan Fukushima. Itu tidak tepat.

‘‘Begitu juga dengan Lynas. Bila umum nak buat kilang proses nadir bumi, ada yang membantah dan paling dikesali segelintir pemimpin politik memutarbelitkan rakyat,” ujarnya yang merupakan Penasihat Keselamatan Radilogi Lynas.

Apa yang ditegaskan Dr. Ismail itu berdasarkan kajian yang menunjukkan radiasi hanya membahayakan manusia apabila ia melebihi paras tertentu dengan 100 mSv boleh menyebabkan meningkatnya risiko mendapat kanser.

Untuk terdedah kepada keadaan seperti itu amat jarang berlaku kecuali jika ada bencana seperti yang berlaku setelah loji nuklear Fukushima.

Tambah Dr. Ismail, operasi Lynas hanya akan menyebabkan pendedahan radiasi kepada orang awam sebanyak 0.002mSv setahun dan ia 10 kali lebih rendah berbanding pendedahan radiasi menonton televisyen selama empat jam sehari untuk tempoh setahun.

Malah pendedahan radiasi kepada paru-paru apabila merokok sekotak sehari setiap hari selama setahun adalah 150 mSv atau 75,000 kali ganda lebih tinggi berbanding pendedahan radiasi daripada operasi Lynas.

‘‘Ini adalah fakta berdasarkan kajian terperinci kita mengikut kaedah antarabangsa. Ia boleh dibuktikan. Namun setakat ini tidak ada satu pihak pun yang membangkang tampil menyanggah kajian ini secara saintifik.

‘‘Mereka hanya asyik kelirukan rakyat mendakwa Lynas tidak boleh dibenarkan, tohmah mendatangkan bahaya kepada penduduk. Saya cabar kumpulan ini bawa mana-mana profesor dalam bidang sains nuklear yang boleh membuktikan operasi Lynas berbahaya, saya sanggup berundur,” tegasnya.

Malah tidak lama dahulu, Ahli Parlimen Pas, Dr. Che Rosli Che Mat yang juga ahli sains nuklear mengakui projek itu tidak berbahaya kepada kepada penduduk.

‘‘Malah seorang lagi pakar kesan sinaran daripada Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Profesor Dr. Tarmizi Ramli juga menegaskan Lynas tidak berbahaya. Ini yang saya katakan, masyarakat dikelirukan. Mereka bukan tidak ada informasi, tetapi telah dikelirukan oleh pihak yang berkepentingan.

Ditanya mengenai dakwaan beberapa doktor perubatan yang bersama kumpulan itu membantah projek Lynas, Dr. Ismail berkata, beliau menyedari perkara itu dan pernah bertemu dengan doktor perubatan tersebut.

Namun katanya, doktor-doktor itu termasuk seorang pakar mata tidak pernah tampilkan kajian menunjukkan kilang memproses nadir bumi seperti Lynas akan meningkatkan radiasi sehingga ke tahap memudaratkan.

‘‘Bidang ini tak perlu doktor nak tahu selamat atau bahaya. Kalau paras radiasi itu tinggi melepasi tahap-tahap tertentu, kita tahu ia berisiko kepada kesihatan.

“Namun jika nak tahu berapa paras pendedahan radiasi akibat sesuatu aktiviti, yang boleh bercakap adalah pakar radiologi biologi. Bukan doktor perubatan.

‘‘Macam bahan kimia, kalau lebih ia beracun. Yang boleh tentukan takat mana beracun, takat mana selamat, bukan doktor tapi pakar toksikologi,” katanya.

Sains membuktikan radiasi ada di mana-mana termasuk ketika berada di dalam rumah. Sebab itu undang-undang tempatan mahupun antarabangsa menetapkan pendedahan radiasi kepada manusia tidak boleh melebihi 1.0 mSv setahun manakala pekerja sinaran pula tidak melebihi 20 mSv setahun.

‘‘Justeru, soalnya sama ada ia lebih had atau tidak. Untuk Lynas, jawapannya tidak. Lynas selamat. Pendedahan radiasi Lynas untuk orang awam selama setahun ialah 0.002mSv.

‘‘Malah untuk mereka yang bekerja di kilang Lynas juga adalah 2 mSv sahaja, jauh daripada tahap bahaya” jelas Dr. Ismail.

Menurut beliau, projek Lynas bukan pengalaman pertamanya berdepan dengan operasi kilang seperti itu kerana sebelum ini beliau juga pernah menjalankan kajian antaranya di daerah Kemaman berhubung operasi kilang memproses amang.

‘‘Kilang itu telah wujud lebih 10 tahun. Namun tidak pun mendatangkan kemudaratan kepada penduduk dan alam sekitar walaupun amang lebih tinggi radiasinya.

‘‘Begitu juga di Pulau Pinang, kawasan Stadium Bandar Raya mempunyai banyak tantalum yang mempunyai radioktif. Namun apakah pernah didengar yang ia mengancam kesihatan,” soalnya.

Pastinya kata Dr. Ismail, radioaktif dan radiasi itu wujud di sekeliling manusia. Namun jika ia berada pada tahap rendah maka ia bukan sesuatu yang membahayakan.

‘‘Lynas sendiri menggunakan teknologi terkini dalam operasinya mengikut undang-undang antarabangsa dan Malaysia dengan mengambil kira semua keadaan bagi menjamin ia selamat kepada kesihatan awam, pekerja dan alam sekitar.

‘‘Di Lynas, tak ada sebab ia akan mendatangkan kesan radiasi tinggi. Ini kilang kimia biasa bukan kilang nuklear. Ia juga tidak mempunyai tekanan. Maka ia tak akan meletup seperti didakwa.

‘‘Bahan sisa Lynas sendiri mengandungi kadar radioaktif yang teramat rendah dan tidak berbahaya. Malah Lynas melalui makmal antarabangsa telah berjaya menurunkan lagi kadar radioaktif dalam sisa,” katanya


MM; Sebenarnya isu ini sengaja di manipulasi oleh pihak pembangkang untuk meraih sokongan. Rakyat yang tidak tahu apa-apa diarak ke sana sini mengikut mereka-mereka yang berkepentingan. Mereka yang ikut berdemo tu sebenarnya tak tahu apa-apa. Atau mungkinkah jika projek ini dibatalkan, ada yang akan mendapat habuan?

Hudud Pas dipertikai

MACHANG 1 Jan. - Bekas Setiausaha Dewan Ulama Pas Kelantan, Wan Ismail Wan Ahmad, 86, hari ini tampil menjelaskan bahawa hukum hudud yang diperjuangkan Pas tidak lagi berlandaskan al-Quran dan hadis.

Beliau mendakwa, ia telah dipinda pada 1993 susulan daripada kerjasama antara Pas, Semangat 46 (S46), DAP dan Parti Bersatu Sabah (PBS) pada Pilihan Raya Umum 1990.

Dakwa beliau, pada Pilihan Raya Umum 1986, Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat yang ketika itu Pesuruhjaya Pas Kelantan telah mengeluarkan manifesto antara lain pelaksanaan undang-undang Islam yang turut berkuat kuasa ke atas orang bukan Islam.

Wan Ismail yang pernah ditahan selama dua tahun di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berkata, tafsiran hukum hudud itu bagaimanapun telah dipinda oleh Nik Abdul Aziz pada 25 November 1993 semasa beliau menyandang jawatan Menteri Besar Kelantan.

Pindaan itu dakwanya, dilakukan dengan kerjasama Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang ketika itu Pengerusi Jawatankuasa Penggubal Kanun Jenayah Syariah (II) sebelum diluluskan dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).

Dakwa Wan Ismail, melalui pindaan itu, hukuman hudud tidak akan dikenakan kepada masyarakat bukan Islam dan hudud kepada orang bukan Islam tidak termasuk dalam perkara yang dinaskan al-Quran dan hadis.

"Di sinilah bermula perbezaannya. Asalnya pada 1986 dalam muka surat lima manifesto dinyatakan iaitu menguatkuasakan undang-undang Islam di seluruh negeri dengan tidak meletakkan perbezaan atas sebab-sebab berlainan keturunan, bangsa, agama dan pangkat kecuali perkara berhubung dengan ibadat dan undang-undang kekeluargaan.

"Dalam muka surat 24 pula dinyatakan bahawa hak-hak orang bukan Islam sama sahaja di sisi undang-undang jenayah dan sivil dengan orang-orang Islam dan ini adalah hudud sebenar berlandaskan Islam.

"Pada 1986 Pas masih di atas dasar asal bahawa hudud mesti dikenakan kepada semua manusia yang melakukan kesalahan tetapi selepas Nik Abdul Aziz jadi Menteri Besar masalah hudud telah bercelaru menjadi dalca," dakwanya ketika ditemui di rumahnya di sini, hari ini.

Beliau berkata, penjelasan mengenai hukum hudud boleh dirujuk di dalam al-Quran melalui ayat 58 dan 105 Surah An-Nisa dan ayat 49 Surah Al-Maidah.

Wan Ismail mendakwa, beliau telah dipecat daripada Pas pada 1986 kerana menentang pakatan parti itu dengan S46.

Malah dakwanya, pada 1995 beliau telah menulis sebuah buku menjelaskan mengenai hudud dan diserahkan kepada Nik Abdul Aziz dan Abdul Hadi.

Namun, sehingga hari ini kedua-dua pemimpin itu hanya berdiam diri.

Katanya, kecelaruan berlaku dalam Pas kerana para pemimpinnya sekarang membelakangi perjuangan asal parti meskipun ramai yang tahu.

"Namun mereka membisu kerana takut dicemuh oleh golongan fanatik selain tidak mahu dikenakan tindakan disiplin," katanya

MM: Nampaknya makin ramai orang Pas yang sedar. Mereka mulai sedar bahawa selama ini mereka ditipu oleh mereka-mereka yang gila kuasa. Apa yang dikatakan oleh Wan Ismail sama seperti yang disuarakan oleh Hasan Ali dalam sebuah rancangan tv baru-baru ini. Rupa-rupanya lakonan pemimpin Pas lebih hebat dari lakonan pemimpin BN. Ahli Pas yang tak tahu hujung pangkal, ditipu hidup-hidup oleh pemimpin mereka yang terang-terang gila kuasa..

Maksiat menjadi-jadi di Selangor..

SHAH ALAM 1 Jan. - Seramai 52 individu ditahan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) dalam satu serbuan cegah maksiat yang diadakan pada sambutan tahun baru malam semalam.

Pegawai Perhubungan Awamnya, Nur Hamizah Othman berkata, kesemua mereka ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan berkhalwat di beberapa hotel murah yang diserbu di sekitar Shah Alam dan Serdang bermula dari pukul 1 pagi hingga 5 pagi tadi.

Beliau berkata, sebanyak 11 hotel bajet telah diserbu dalam operasi yang dikenali sebagai Ops Anti-Zina dan diketuai oleh Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Agama Islam, Adat-adat Melayu, Infrastruktur dan Kemudahan Awam Selangor, Datuk Dr. Hasan Ali itu


MM: Khalid Samad tak nak komen apa-apa ke?

Roboh lagi???

PKR ketepi pembangunan modal insan

Oleh MD. AZRIN ROSLY
pengarang@utusan.com.my

KUALA LUMPUR 1 Jan. - Tindakan Yayasan Selangor di bawah kepimpinan Kerajaan Parti Keadilan Rakyat (PKR) yang tetap mahu merobohkan Asrama Yayasan Selangor di sini, menunjukkan mereka lebih mementingkan soal ekonomi daripada pembangunan modal insan.

Setiausaha Agung Gagasan Pendidikan Melayu Malaysia (Gagasan), Syed Anuar Syed Mohamad berkata, tindakan itu hanya menunjukkan wajah sebenar kerajaan negeri yang mendakwa memperjuangkan keadilan serta kebajikan untuk rakyat.

"Peliknya, mengapa asrama berkenaan yang menyediakan peluang pendidikan kepada anak- anak luar bandar Selangor yang kurang berkemampuan dan miskin untuk dihantar ke sekolah kawalan di bandar yang baik, hendak dihentikan?

"Kerajaan negeri sanggup menggadaikan kebajikan masyarakat luar bandar demi keuntungan jangka pendek berbanding pembangunan modal insan yang sangat penting bagi jangka panjang," kata beliau.

Kelmarin, Gerakan Saya Anak Yayasan Selangor (GSAYS) memaklumkan ruang perbincangan dengan pihak berkenaan agar menimbang semula keputusan merobohkan asrama itu telah tertutup apabila Yayasan Selangor membuka tender kepada pemaju yang berminat untuk membangunkan tanah tapak asrama yang akan dirobohkan nanti.

Lebih mengecewakan, pihak Yayasan Selangor atau kerajaan negeri dikatakan tidak menyediakan alternatif untuk membina asrama baru bagi menggantikan asrama yang akan dirobohkan itu nanti.

Tambah Syed Anuar, rakyat perlu menilai semula kerajaan negeri yang telah diberikan mandat untuk memerintah itu tetapi gagal melaksanakan tanggungjawabnya dengan menghukum mereka dalam pilihan raya akan datang.

Sementara itu, Pengerusi Yayasan Guru Malaysia Berhad (YGMB), Tan Sri Alimuddin Mohd. Dom berkata, perkembangan terbaru tersebut merupakan berita dukacita kepada warga pendidik kerana asrama seperti itu sepatutnya diperbanyakkan, bukan dikurangkan.

"Langkah mengutamakan keuntungan dan kebendaan itu dilihat tidak selari dengan pembangunan insan serta usaha kerajaan untuk memberi peluang kepada pelajar luar bandar menuntut di sekolah ternama di kawasan bandar.

"Saya kira asrama ini sudah ada sejak tahun 1970-an lagi dan sudah beribu-ribu pelajar asrama itu yang telah mendapat manfaat," ujarnya.

Alimuddin yang merupakan bekas Ketua Pengarah Pelajaran berkata, Yayasan Selangor perlu menyediakan asrama baru yang lebih baik bagi menampung lebih banyak pelajar di tempat lain jika mereka tetap mahu merobohkan asrama tersebut

MM: Selepas Madrasah Salihiah kini Yayasan Selangor. Lepas ni mana pula? Kawan nak tunggu apa komen Hassan Ali.

Sunday, January 1, 2012

Di mana bumi di pijak, di situ langit di junjung....

Perkara 153 dan buli

Bisik-Bisik Mingguan

TINDAKAN pemimpin tertinggi Gereja National Evangelica Christian Fellowship (NECF) Rev. Dr. Eu Hong Seng mempersoalkan Perkara 153 Perlembagaan Persekutuan, menimbulkan pertanyaan apakah motif sebenarnya.

Hong Seng mendakwa Perkara 153 adalah menyerupai membuli jika ia hanya melindungi hak satu kumpulan. Dia menyatakan demikian pada majlis minum teh Persekutuan Kristian Malaysia (CFM) sempena Hari Krismas yang turut dihadiri Ketua Pembangkang, Anwar Ibrahim.

Sambutan Krismas sepatutnya dimanfaatkan untuk mengukuhkan lagi hubungan di kalangan penganut pelbagai agama di negara ini dan bukannya mengeluarkan kenyataan bersifat hasutan dan rasis. Awang percaya pandangannya itu bukan mencerminkan pemikiran seluruh penganut Kristian, yang memahami perlunya menjaga sensitiviti agama. Namun, ia dikhuatiri boleh menyemarakkan sentimen antiperlembagaan dalam kalangan rakyat. Hal seperti ini tidak pernah disentuh dalam khutbah Hari Raya Aidilfitri dan Aidiladha. Bayangkan kalau kenyataan yang mempersoalkan hak kaum lain dilakukan oleh orang Melayu dan Islam, pasti akan diasak habis-habisan dengan pelbagai tuduhan dan tekanan.

Apa yang disuarakan oleh Hong Seng sudah keterlaluan. Dia sewajarnya bersyukur kerana penganut semua agama dapat hidup harmoni dan agama Kristian tetap berkembang subur walaupun Islam merupakan agama rasmi. Hong Seng telah melepaskan kesempatan terbaik untuk memenangi hati semua kaum terutama bumiputera, yang sebahagiannya juga terdiri daripada bukan Islam. Apatah lagi selama ini bumiputera telah banyak bertolak ansur untuk kesejahteraan kaum lain sehingga minoriti menguasai kekayaan ekonomi negara. Awang khuatir kenyataan seumpama itu akan memercikkan ekstremisme agama dan kaum, yang jika berlaku siapakah yang harus bertanggungjawab. Ia juga menampakkan kedangkalannya memahami perlembagaan secara menyeluruh. Perkara 153 sebenarnya turut memberi perlindungan kepada penganut agama lain sebagaimana terbukti selama ini.

Sudah terlalu banyak penjelasan dengan perspektif yang betul diberikan tetapi sengaja isu itu dimainkan sebagai satu lagi tekanan menjelang Pilihan Raya Umum Ke-13 (PRU13). Apa maknanya menjadi warganegara jika tidak memahami karakteristik dan asas kenegaraan tanah air sendiri. Pada Awang, Hong Seng perlu segera memohon maaf dan menarik balik kenyataan tersebut. Jika dia tebal dengan agenda politik parti tertentu termasuk untuk menulis semula perlembagaan, jangan heret agama Kristian kepada kancah. Agama bukan dagangan. Sekiranya, Hong Seng enggan memohon maaf, Awang setuju dengan gesaan beberapa pihak agar dia berhijrah ke negara lain. Untuk apa lagi tinggal di negara ini, yang dia dakwa kaumnya tidak mendapat keadilan. Ribuan warga asing dan ekspatriat termasuk beragama Kristian setiap hari menanti peluang untuk tinggal di Malaysia. Mereka lebih tahu diuntung


MM: Eloknya dulu nama Persekutuan Tanah Melayu di kekalkan. Kesedaran rakyat Malaysia kini makin nipis. Disesetengah negara bukan Islam, orang Islam dinafikan hak memakai tudung dan beribadat. Kawan pun setuju atas saranan beberapa pihak agar sesiapa yang tak sedar diri, boleh angkat kaki, jangan cemarkan bumi Tanah Melayu yang tercinta ini. Sebelum ini ada pemimpin Melayu Islam mempertikaikan mengenai kedatangan kaum lain ke negara ini. Akibatnya, beliau di pinggir dan diambil tindakan. Kawan dan rakyat sedang menunggu apa tindakan yang akan diambil kepada paderi tersebut. Sedarlah, di mana bumi di pijak, di situ langit di junjung....