Thursday, November 28, 2013

PR makin terdesak....

KUALA LUMPUR 27 Nov. - Kerajaan digesa bertindak tegas di bawah Akta Hasutan 1948 ke atas Ahli Parlimen Jelutong, Jeff Ooi kerana tindakan biadabnya menggelar penjawat awam sebagai kucing kurap. Perkara tersebut disuarakan Kesatuan Kebangsaan Pekerja-Pekerja Pihak Berkuasa Tempatan Semenanjung Malaysia (Anulae) yang membuat laporan polis di Ibu Pejabat Polis Dang Wangi, Kuala Lumpur, berhubung gelaran yang dirujuk kepada pegawai pangkat rendah Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) itu. Presiden Anulae, Azih Muda berkata, cercaan yang dikeluarkan Jeff itu tidak melambangkan ciri-ciri seorang penggubal undang-undang dan pemimpin yang dipilih oleh rakyat. Beliau berkata, Anulae berasa amat terhina dengan 'label' yang diberikan Jeff itu dan berpendapat jika perkara itu berlaku di negara lain, keadaan huru-hara pasti tercetus. "Baru-baru ini, Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara, Tony Pua menggelar Pertubuhan Pendaftar (ROS) sebagai 'anjing'. Perkara ini jelas menunjukkan keangkuhan pemimpin-pemimpin DAP yang langsung tidak tahu menghargai usaha dan kerja keras yang diberikan oleh kakitangan kerajaan," katanya ketika sidang akhbar selepas Mesyuarat Khas Exco Anulae di sini hari ini. Menurut Azih, pihaknya telah menyiapkan memorandum untuk meminta Jeff menarik balik kenyataannya dan memohon maaf kepada kakitangan MPPP dan pihak berkuasa tempatan (PBT) seluruh negara. Katanya, memorandum itu akan turut dihantar kepada Perdana Menteri; Ketua Setiausaha Negara; Ketua Menteri Pulau Pinang; Ketua Pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam dan Kongres Kesatuan Pekerja-pekerja Di dalam Perkhidmatan Awam (CUEPACS). Azih berkata, satu perhimpunan melibatkan lebih 10,000 ahli Anulae dan pertubuhan bukan kerajaan lain akan diadakan jika tiada sebarang tindakan diambil oleh DAP. Baru-baru ini, seorang kakitangan awam Majlis Perbandaran Pulau Pinang (MPPP) telah menyerang Jeff di Pasar Awam Jelutong kerana tidak berpuas hati dengan perkataan 'kucing kurap' yang digunakan oleh wakil rakyat DAP itu bagi merujuk kepada golongan penjawat awam di negeri tersebut. "Melalui memorandum itu, Anulae turut menggesa Ketua Menteri Pulau Pinang yang juga Setiausaha DAP, Lim Guan Eng, melindungi setiap kakitangan kerajaan daripada tuduhan-tuduhan seperti itu dan meminta DAP mengambil tindakan ke atas Jeff," katanya. Azih berkata, satu perhimpunan bantahan di Pulau Pinang yang bakal dihadiri lebih 10,000 ahli Anulae termasuk beberapa pertubuhan bukan kerajaan lain akan diadakan jika tiada sebarang tindakan dibuat oleh Parti DAP berhubung isu berkenaan. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131128/dn_10/Anulae-gesa-ambil-tindakan-tegas-bawah-Akta-Hasutan#ixzz2lu2MRvPw © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment