Friday, November 15, 2013
Pas-Dap tidak sehaluan tentang Hudud
Bekas Naib Pengerusi DAP, Zulkifli Mohd. Noor berkata, DAP mempunyai pendirian berbeza mengenai pelaksanaan hukum hudud yang diperjuangkan sekutunya Pas.
Zulkifli mendakwa, berdasarkan pengalamannya dalam parti itu termasuk ketika menganggotai Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC), pendirian pemimpin parti dengan ahli peringkat akar umbi terutamanya orang Melayu tidak sama.
"Pendirian Pengerusi DAP, Karpal Singh dan orangnya dalam CEC ialah mereka tidak mahu hudud dilaksanakan, namun ketika saya dalam CEC, pendirian saya berbeza.
"Sebagai seorang pemimpin Melayu dan Islam, ketika itu saya terima jika hudud dilaksanakan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.
Sebelum ini, isu hudud seringkali menggoncang kerjasama DAP dan Pas apabila Karpal keras menolak pelaksanaannya.
Mengulas lanjut, Zulkifli yang berada dalam barisan tertinggi kepemimpinan DAP selama 12 tahun sejak 1995 berkata, ketika ini menjadi 'tanggungjawab' pemimpin Melayu dalam DAP seperti Ahli Parlimen Bukit Bendera, Zairil Khir Johari dan Naib Presiden DAP, Senator Dr. Ariffin Omar menyatakan pendirian mereka.
"Zairil dan Ariffin perlu ditanya pendirian mereka sama ada sokong atau sebaliknya.
"Namun, seperti kita sedia maklum sebelum ini, pasti akan wujud masalah apabila Pas bersama dengan dua lagi parti yang mempunyai agenda perjuangan berbeza, bagaimana mahu bersatu," katanya.
Mengulas perkembangan terbaharu di Kelantan itu, Zulkifli percaya DAP tidak akan menerima pelaksanaan hudud dan akan menolaknya.
Menurutnya, dalam hal ini sepatutnya Pas perlu berfikir sama ada mahu kekal dalam pakatan berkenaan atau membawa haluan sendiri.
"Pas memperjuang dan menegakkan Islam. Kalau perjuangan itu terhakis dan tidak diperkuatkan dan hanya mengikut rentak kapitalis dan reformasi, maka dengan sendirinya perjuangan mereka tidak akan berjaya," katanya.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20131115/po_04/DAP-punya-pendirian-berbeza-dengan-Pas#ixzz2kfaGmr22
© Utusan Melayu (M) Bhd
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
karpal singh bantah hudud sebab dia tak blh nak cari makan. bila hudud kompom kena guna peguam islam,
ReplyDelete