Thursday, November 28, 2013
'Saya dah jelas pada PAC isu K-Pop' - Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek
KUALA LUMPUR 27 Nov. - Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek menyelar pihak pembangkang yang terus mempolitikkan isu bayaran RM1.6 juta untuk persembahan artis K-Pop semasa sambutan Festival Belia Negara 2012.
Beliau meminta pihak yang masih mempertikai dan tidak berpuas hati dengan penjelasan lengkapnya kepada Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) mengenai isu tersebut baru-baru ini agar merujuk terus perkara itu kepada jawatankuasa berkenaan.
"Saya telah beri penjelasan lengkap kepada PAC dan pada masa itu ada tiga orang wakil pembangkang, jadi mereka sudah banyak tanya dan saya sudah jawab.
"Saya juga telah 'membuka' diri saya untuk ditanya berapa jam dalam sesi itu, jadi kalau dia (pembangkang) masih timbulkan isu ini, itu salahkan pada mereka (wakil pembangkang) yang berada di situ. Kenapa tak tanya habis?," katanya selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Malaysia Mengenai Komunikasi (MICC) Ke-11 di sini hari ini.
Ahmad Shabery menegaskan, beliau secara sukarela telah berjumpa PAC yang dianggotai ahli Parlimen kerajaan dan pembangkang untuk memberi penjelasan dan bukannya dipanggil oleh PAC bagi memberi keterangan baru-baru ini.Pengerusi PAC, Datuk Nur Jazlan Mohamed berkata, jawatankuasa itu berpuas hati dengan penjelasan Ahmad Shabery selama kira-kira dua jam berhubung perbelanjaan semasa sambutan Festival Belia Negara 2012.
Menurutnya, jawatankuasa itu mendapati tiada sebarang salah laku atau pelanggaran prosedur dalam penganjuran dan perbelanjaan festival itu termasuk konsert tiga kumpulan pop Korea yang mencetuskan kontroversi sebelum ini.
Ahmad Shabery sebelum ini bertanggungjawab ke atas Festival Belia Negara 2012 dalam kapasitinya semasa menjawat jawatan Menteri Belia dan Sukan tahun lalu.
Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20131128/dn_13/Saya-dah-jelas-pada-PAC-isu-K-Pop#ixzz2lu6SvuY8
© Utusan Melayu (M) Bhd
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment