Tuesday, September 17, 2013

Chin Peng - Kuburkan di mana sahaja tetapi BUKAN DI BUMI MALAYSIA......

Mayat bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng yang meninggal dunia di Thailand akibat sakit tua pada usia 90 tahun tidak akan diterima untuk dibawa pulang ke negara ini. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun sudah meninggal dunia, mendiang tetap ketua pengganas komunis yang bertanggungjawab membunuh ribuan anggota keselamatan negara. Katanya, kematian Chin Peng itu juga tidak mungkin dapat memadam rasa kebencian terhadap mendiang terutama dalam kalangan balu-balu anggota polis dan tentera yang dibunuh kejam pengganas komunis. "Tidak mungkin veteran polis dan tentera akan menerima mayat atau abu mendiang sekalipun untuk dikebumikan di Malaysia. Chin Peng bukan pejuang kemerdekaan sebagaimana dakwaan pihak-pihak tertentu. "Mendiang tetap ketua pengganas komunis yang tidak boleh diterima di bumi ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Beliau mengulas gesaan pihak tertentu supaya kerajaan membenarkan Chin Peng dikebumikan di negara ini. Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang tinggal dalam buangan di Thailand meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada pukul 6.20 pagi hari ini akibat sakit tua. Sepanjang mengetuai komunis semasa zaman darurat pada 1948 hingga 1960 dan 1968 hingga 1989, pelbagai kekejaman dilakukan Chin Peng serta pengikutnya terhadap anggota keselamatan negara serta orang awam. Mendiang bertanggungjawab mengepalai komunis membunuh sebanyak 2,083 anggota keselamatan negara dan mencacatkan 3,541 anggota lain manakala sebanyak 2,588 orang awam pula dibunuh dengan 1,490 yang lain cedera. Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kematian Chin Peng tidak akan dianggap sebagai satu kehilangan berikutan pengkhianatan dan keganasan yang pernah dilakukan oleh mendiang pada zaman lampau. Malah, tegas beliau, Chin Peng yang pernah mengetuai parti komunis di negara ini bertanggungjawab penuh ke atas kematian beribu-ribu anggota keselamatan dan rakyat yang berusaha mempertahankan kedaulatan negara. "Saya menyokong keputusan kerajaan tidak membenarkan mayat atau abu mendiang ditanam di Malaysia, malah semasa mendiang tenat sebelum ini saya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu tidak membenarkan sama sekali beliau dibawa pulang," katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130917/dn_03/Tidak-boleh-diterima-di-bumi-Malaysia#ixzz2f8Ga50yC © Utusan Melayu (M) Bhd

No comments:

Post a Comment