Saturday, November 19, 2011

BERTINDAK TERHADAP ANWAR!!!!

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Kerajaan didesak bertindak segera menghalang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada terus menaburkan fitnah terhadap pemerintah dan pasukan keselamatan negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, sekiranya kerajaan terus berlengah pastinya fitnah tersebut akan berleluasa dan memusnahkan kesejahteraan Malaysia.

"Anwar sudah berkali-kali cuba memecah-belahkan rakyat terutama dalam kalangan orang Melayu, menjadikan beliau ancaman kepada negara dan rakyat.

"Justeru, pihak berkuasa terutama Kementerian Dalam Negeri perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap Anwar kerana sengaja cetuskan keresahan rakyat dan ketegangan dalam masyarakat," katanya pada Majlis Anugerah cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Anwar kelmarin mendakwa UMNO berniat jahat mengaibkan Ketua Pembangkang itu dan keluarga berhubung skandal video seks pada 22 Mac lalu.

MM : Kawan sokong apa yang dikatakan oleh Ketua UMNO Bahagian Cheras ini. Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Anwar kerana beliau sering menuduh kerajaan terutamanya UMNO walaupun tanpa bukti yang kukuh. Beliau jugalah satu-satunya manusia yang sering memburukkan kerajaan di luar negara. Harap kerajaan bertindak segera sebelum terlambat....

Thursday, November 3, 2011

Pelik Kerajaan Selangor tidak tahu taja Muay Thai RM5 Juta

Petikan dari Sinar Harian
– Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, mempersoalkan tindakan Kerajaan Selangor ‘lepas tangan’ dan menuding jari kepada kementeriannya dalam isu kehadiran petinju Israel, Ilya Grad dalam kejohanan Pencabar Muay Thai baru-baru ini.

Menurutnya, Kerajaan Selangor di bawah agensi pelancongan negeri, jelas menaja rancangan TV sebanyak RM5 juta tetapi pelik, bagaimana mereka mengatakan tidak tahu.

Katanya lagi, beliau tidak mempertikaikan penajaan tersebut, malah menggalakkan mana-mana kerajaan negeri dan syarikat swasta menaja aktiviti sukan, namun tidak bersetuju kesalahan ini hanya dituju kepada kementerian.

“Saya ada bukti Kerajaan Negeri menaja rancangan ini RM5 juta, malah logo agensi pelancongan negeri Selangor ada dalam setiap episod.

“Apa yang pelik mereka boleh berkata tidak tahu, sepatutnya jabatan audit datang menyiasat kerana jumlah ini adalah besar,” katanya di lobi Parlimen semalam.

Mengulas mengenai dakwaan petinju Israel tersebut yang mengatakan dia masuk ke negara ini atas sokongan Menteri Belia dan Sukan, Shabery menegaskan beliau hanya berkata tiada halangan sekiranya semua peraturan dipenuhi.

“Seperti pasukan Chel­sea di mana ada seorang pemain Israel, kita tidak boleh menghalang beliau seorang atau keseluruhan pasukan, jadi ada pengecualian sesetengah kes,” katanya.

MM : Kalau kerajaan negeri tidak tahu apa yang berlaku dalam negeri sendiri, lebih baik letak jawatan. Kenapa perlu mencari kesalahan orang lain, cermin diri sendiri dahulu.

Seksualiti Merdeka : dakwa Ambiga!!!!!!!

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mendesak pihak berkuasa khususnya Jabatan Peguam Negara supaya mengambil tindakan mendakwa Datuk S. Ambiga kerana sikapnya yang semakin melampau apabila menyokong program Seksualiti Merdeka 2011.

Ketua Wiranya, Irwan Fahmi Ideris berkata, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu perlu dikenakan tindakan tegas kerana telah melakukan banyak perkara yang boleh memecah-belahkan perpaduan dan mengugat ketenteraman awam.

"Pihak Peguam Negara perlu mendakwa Ambiga jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai membuat siasatan. Sudah lebih 100 hari dia terlibat menganjurkan perhimpunan haram Bersih, Ambiga masih lagi bebas.

"Ambiga cuba membangkitkan kemarahan orang ramai khususnya kaum Melayu.

"Tindakan Ambiga ini sudah melampau apabila menyokong pula hubungan sejenis dan seks bebas yang jelas bertentangan dengan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Negara sebagai agama rasmi Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menyerahkan memorandum bantahan terhadap Program Seksualiti Merdeka 2011 anjuran kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu kepada Ketua Polis Negara (KPN) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Memorandum itu diterima oleh Penolong Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf yang mewakili Tan Sri Ismail Omar.

Program Seksualiti Merdeka 2011 yang bermula semalam hingga 13 November ini akan dirasmikan oleh Ambiga malam ini.

Ia dipromosikan melalui laman web www.seksualitimerdeka.org yang kononnya bertujuan mempertahankan hak golongan homoseksual agar boleh diterima dalam kalangan masyarakat negara ini.

Antara penaja dan penyokong program yang berlangsung selama 13 hari ini ialah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan beberapa aktiviti seperti bengkel, perbincangan, filem, pameran dan persembahan.

Menurut Irwan Fahmi, memorandum bantahan diserahkan hari ini meminta PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas dengan membatalkan semua permit yang telah dan sedang diproses bagi menghalang aktiviti program itu.

"Dengan membenarkan program ini berlangsung, secara tidak langsung Malaysia telah bersedia menerima golongan rakyat yang berfikiran bahawa hubungan sejenis adalah hak asasi mereka, sedangkan perbuatan seks luar tabii adalah dilarang bukan sahaja oleh agama Islam, malah agama-agama lain di negara ini," ujarnya.

Sementara itu, Ramli ketika ditemui memberitahu, beliau akan menyerahkan memorandum tersebut kepada KPN untuk menentukan tindakan lanjut yang akan diambil.

MM : Kebal sangat ke Ambiga ni? Kawan tengok banyak benar perkara yang dilakukan oleh dia yang melanggar undang-undang tapi hingga kini ia masih bebas. Rakyat menunggu apa tindakan KDN.

Wednesday, November 2, 2011

Jumlah pemjawat awam terjejas jika pakatan menang

KUALA LUMPUR: CUEPACS bimbang jumlah kakitangan awam akan dikurangkan jika pakatan pembangkang menang pilihan raya umum akan datang berikutan tindakan DAP mempersoalkan pelbagai kelebihan yang diberikan kerajaan kepada mereka. Timbalan Presidennya, Azih Muda, berkata DAP tidak seharusnya mempertikaikan kenaikan gaji dan pencen diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012 bulan lalu kerana ia dibuat berdasarkan kenaikan kos sara hidup di negara ini. “Jika itulah penilaian pembangkang kepada kakitangan awam, ia memberi gambaran tidak baik kepada kita pada masa depan.

“Kita tidak harus hanya melihat kepada pertambahan pendapatan seseorang, tetapi perlu diukur dari segi kos sara hidup yang perlu seiring dengan tahap kehidupan di Malaysia yang sedang ke arah negara berpendapatan tinggi,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua yang mempersoalkan langkah kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam antara tujuh dan 13 peratus, selain pelarasan kenaikan tahunan pencen bagi pesara kerajaan sebanyak dua peratus.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, langkah itu meningkatkan perbelanjaan sektor awam sebanyak 73.7 peratus dalam tempoh lima tahun dan tidak menggambarkan kerajaan serta perkhidmatan awam yang lebih efisyen atau menjimatkan kos.
Azih juga berkata, jika pembangkang berpendapat kakitangan awam tidak layak mendapat kenaikan gaji, CUEPACS bimbang generasi muda tidak akan berminat untuk berkhidmat dalam kerajaan.

“Kita sedia untuk berkhidmat kerana yakin kerajaan sedia ada sentiasa menjaga kebajikan dan melindungi rakyat menerusi pelbagai faedah yang diberikan kepada kami,” katanya.

MM : Jika benar apa yang dibimbangi oleh CUEPACS ini, maka amat malang bagi penjawat awam yang selama ini menyokong pembangkang. Tapi apa pun, kita tunggu apa komen penjawat awam yang mati-mati menyokong pembangkang selama ini yang mana kawan rasa majoritinya adalah orang MELAYU........

Tuesday, October 25, 2011

Berani kerana benar.....

Muhyiddin kesal kenyataannya diputar-belit media alternatif- Timbalan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, kenyataan beliau berhubung isu dakwaan beberapa blog bahawa anak lelaki Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng mencabul kehormatan seorang gadis berumur 16 tahun, telah diputar-belit oleh beberapa media alternatif.

Muhyiddin berkata, beliau tidak berniat untuk mengheret hal-hal berkaitan keluarga dan anak Guan Eng ke dalam kancah politik sebaliknya hanya menyarankan bahawa pihak berkenaan membuat laporan polis bagi menamatkan segala tohmahan berhubung isu itu.

"Sebenarnya saya tak nak campur dalam urusan seperti itu dan saya sedar banyak penulisan di dalam blog. Untuk heret isu keluarga dan anak dalam kancah politik itu bukan tujuan saya. Tetapi ia sudah diputar-belitkan," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan 2012 bagi Kementerian Pelajaran di Dewan Rakyat hari ini.

Muhyiddin berkata demikian bagi menjawab pertanyaan oleh Lim Kit Siang (DAP-Ipoh Barat) yang bertanya sama ada Timbalan Perdana Menteri bersedia menarik semula kenyataan berhubung isu melibatkan anak Guan Eng itu yang dibuatnya sebelum ini.

Timbalan Perdana Menteri kelmarin menyarankan supaya Guan Eng supaya membuat laporan polis berhubung dakwaan beberapa pihak terhadap anaknya itu dan membiarkan polis menjalankan siasatan bagi menjelaskan keadaan sebenar.

Kenyataan Muhyiddin itu kemudian mendapat reaksi daripada pemimpin pembangkang yang menyifatkan kenyataan Timbalan Perdana Menteri itu sebagai mempunyai makna tersirat.

Muhyiddin berkata, beliau sendiri tidak menerima laporan berhubung kejadian itu daripada sekolah berkenaan sebelum ini memandangkan beliau tidak bertanya kepada sekolah itu mengenai insiden tersebut.

"Saya tahu dalam semua media alternatif banyak (kenyataan) ditokok tambah sehingga dikaitkan dengan hal lain yang tidak ada kena mengena. Saya tidak kata dia (anak Guan Eng) bersalah. Saya tidak ada masalah tetapi masyarakat membuat penilaian lain. Kalau tidak ada, apa yang YB Ipoh Barat bimbangkan," katanya.

MM : Benar kata TPM, apa perlu takut jika anak LGE tidak bersalah, biar polis menjalankan siasatan dan menghukum mereka yang di katakan cuba menfitnah keluarga beliau.

Wednesday, September 28, 2011

Bertindak segera sebelum nasi menjadi bubur!!!!!!

Musang berbulu ayam dalam badan-badan strategik kerajaan?

Oleh Zaini Hassan

APABILA saya diberitahu mengenai maklumat ini saya tidak tahu di mana hendak bermula. Apakah benar maklumat yang saya terima ini?

Jika benar apakah wajar saya dedahkan? Jika saya dedahkan apakah implikasinya? Namun saya tetap berdoa agar maklumat ini salah.

Jika salah, mungkin saya boleh tidur lena dan bersyukur keadaan itu tidak berlaku, walaupun saya mungkin dipersalahkan kerana menulis sesuatu yang tidak berlaku.

Tapi sebagai penulis, itulah risiko yang harus dihadapi.

Apa yang saya tulis ini mungkin sedikit memeranjatkan, tapi biarlah pihak-pihak tertentu yang menyiasat mengenai kebenarannya.

Saya menerima satu maklumat mengenai badan (atau mungkin lebih daripada satu badan) yang cukup strategik dalam kerajaan yang telah dan sedang diresapi oleh orang (atau dalam bahasa mulut orang-orang) Anwar Ibrahim.

Maklumat yang saya terima menggambarkan bahawa ia adalah suatu situasi yang real dan nyata.

Jika benar, ia adalah sesuatu yang cukup bahaya. Ia adalah satu perancangan yang halus, licik dan terancang yang boleh menjejaskan kerajaan semasa.

Sama ada ia berlaku secara kebetulan atau satu plot terancang tidak pula saya tahu. Jika benar, ternyatalah sistem imunisasi kerajaan ini lemah sehingga gagal untuk menentang elemen-elemen itu.

Seperti yang saya kata tadi, jika saya salah, maka saya bersyukur kerana ia tidak berlaku. Tetapi jika ia berlaku, maka sesuatu yang drastik harus dilakukan supaya pengkhianat-pengkhianat ini dibersihkan secepat mungkin daripada sistem kerajaan.

Dalam konteks kerajaan Malaysia kini, adalah sesuatu yang lazim dan biasa jika ada penjawatnya yang bersimpati dengan pihak-pihak musuh atau yang bertentangan dengan dasar yang dijunjung oleh organisasi itu. Malah ada juga kakitangan kerajaan yang secara terang-terangan menentang kerajaan atau bersikap anti kerajaan.

Bagi saya, itu masih lagi boleh diterima, tapi macam mana pula jika orang-orang yang berada di dalam sesebuah organisasi itu menjadi operator dan penggerak kepada musuh itu? Jika benar berlaku, maka ia adalah sesuatu yang luar biasa dan amat mendukacitakan.

Dalam peperangan saraf di Malaysia sekarang, tidak mustahil operator itu wujud, lagipun Anwar Ibrahim bukan calang-calang orang untuk menempatkan mereka di situ. Orang-orangnya masih ada dalam sistem, terutamanya di peringkat atasan.

Mungkin juga masih berlaku infiltrasi atau penyusupan masuk orang-orang ini untuk menjadi musuh dalam selimut, musang berbulu ayam, bagai menggunting dalam lipatan?

Ternyata bahasa Melayu cukup agung untuk menggambarkan apa yang cuba disampaikan di sini. Sekali lagi saya mahu nyatakan benarkah wujud elemen-elemen itu? Saya berharap ia tidak berlaku.

Apa akan terjadi sekiranya benar? Apakah langkah yang akan dilakukan oleh pihak berkuasa jika ia benar-benar berlaku?

Apakah kita sedar bahawa ada antara badan strategik itu kini tiba-tiba menjadi tidak bermaya setelah ‘kehadiran’ elemen-elemen itu?

Maklumat itu memberitahu: ‘‘Saya tidak hendak memberikan contoh yang lebih banyak, tetapi saudara perhatikanlah sendiri bagaimanakah ada agensi Kerajaan Persekutuan (dirahsiakan namanya) yang tugas pentingnya mempertahankan dasar-dasar kerajaan, memberi kefahaman kepada rakyat supaya akhirnya mereka memberikan sokongan kepada kepimpinan Perdana Menteri, boleh pula menerapkan, menyerapkan malah menggunakan instrumen pembangkang yang berusaha mematikan Perdana Menteri.”

Kata maklumat itu lagi: ‘‘Inilah kemenangan Anwar Ibrahim yang dibawa oleh orang kuatnya di dalam organisasi itu, dan masih membawa masuk orang-orang Anwar secara perlahan. Permohonan membawa masuk pegawai baru masih di peringkat JPA dan SPA.”

Saya tidak mahu menulis panjang lebar mengenai hal ini. Biarlah pihak berkenaan akhirnya sedar mengenai fenomena ini. Biarlah mereka yang mengambil tindakan, itupun jika mereka mampu melakukannya.

Elemen-elemen yang ada itu, jika benar, harus dihapuskan. Mereka harus dibersihkan daripada sistem kerajaan semasa, dalam sistem strategik negara dan politik.

Menurut maklumat itu lagi: ‘‘Bagi kami yang kerdil ini, tidak sanggup melihat YAB Perdana Menteri menerima nasib seburuk Gaddafi. Sekuat Gaddafi pun akhirnya dijatuhkan dari dalam dengan bantuan musuh-musuh Islam di luar!''

Sebagai contohnya, kata maklumat itu lagi: ‘‘...anda fikirkanlah bagaimanakah kos perbelanjaan lawatan rasmi luar negara YAB PM boleh diperolehi dengan begitu detail, cepat dan pantas oleh pihak pembangkang?

Bagaimanakah juga penerbangan percutian peribadi YAB PM juga boleh diperolehi dengan begitu detail dan cepat oleh pihak pembangkang? Dan banyak lagi contoh-contoh lain. Apakah ia diperolehi dengan mudah jika tidak kerana ada orang dalam yang membocorkan segala maklumat sulit itu?''

MM : Sebenarnya mereka ada di mana-mana. Kawan harap, bersihkan segera mereka-mereka ini dari sistem kerajaan. Kita tidak mahu negara ini menjadi seperti Mesir, Libya dan negara-negara lain yang telah tumbang angkara tangan-tangan ghaib dan pengkhianat-pengkhianat yang tamakkan kuasa..

Tuesday, September 20, 2011

MALAYSIA DALAM ZON BAHAYA....

KUALA LUMPUR 19 Sept. - Malaysia akan berada dalam 'zon bahaya' sekali gus menjadi sebuah negara tidak beridentiti sekiranya rakyat memberi mandat kepada pembangkang untuk memerintah negara ini.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Dr. Mohd. Puad Zarkashi berkata, ia berikutan kenyataan terkini Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Alam Shah, M. Manoharan yang menegaskan pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika memperoleh kuasa dalam pilihan raya umum akan datang.

Jelasnya, dengan kenyataan itu, maka tidak hairan selepas dibenarkan memerintah, mereka akan bertindak menukar lagu Negaraku termasuk merobohkan Parlimen kerana dikatakan mirip Barisan Nasional (BN).

''Saya rasa pemikiran Manoharan masih terjajah. Dalam keadaan kerajaan serius melakukan transformasi politik, mereka masih dengan perangai lama untuk sengaja menimbulkan huru-hara dalam negara.

''Pemikiran sebegini cukup bahaya apabila semua perkara mahu diubah. Sehubungan itu rakyat yang mahukan keamanan dan mempertahankan kemerdekaan perlu menolak pemimpin seperti ini,'' katanya kepada Utusan Malaysia.

Beliau mengulas kenyataan Manoharan menerusi laman sosial Facebook miliknya baru-baru ini dan didedahkan oleh portal berita terbaru, www.mole.my semalam yang menegaskan pembangkang akan bertindak menukar Jalur Gemilang jika menang pilihan raya umum akan datang.

Secara jelas, Manoharan menulis kenyataan menerusi status dalam laman berkenaan yang berbunyi: I distributed many DAP flags today in my constituency. I refused to fly the Malaysian flag because it looks more BN than Malaysian. (Saya mengedarkan banyak bendera DAP hari ini dalam kawasan pengundian saya. Saya menolak untuk mengibarkan bendera Malaysia kerana ia kelihatan seperti BN berbanding Malaysia).

Bertambah biadab, Manoharan mengeluarkan pula komentar di bawahnya seperti berikut: "Copycat...AMERICA. America Syarikat atau Syarikat America. Inipun Bahasa Malaysia tak betul. LOL. Bendera Amerika Syarikat ditiru!."

Pendapat Mohd. Puad itu disokong Ketua Puteri UMNO, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin yang menyifatkan DAP sudah ketandusan isu sehingga sehingga terpaksa membangkitkan usul untuk menukar Jalur Gemilang semata-mata mahu mengalih perhatian rakyat terhadap perkara lebih penting berkaitan pembangunan negara.

Katanya, panji-panji negara telah lama berkibar di negara luar malah misi keamanan negara tidak pernah disalah anggap sebagai pasukan dari AS.

''Saya menyeru semua pihak tidak melayan cadangan gila DAP itu kerana saya yakin peluang untuk pembangkang memerintah negara ini semakin tipis,'' katanya.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden MIC, Datuk Dr. S. Subramaniam pula berkata, setiap perkara yang menjadi lambang negara tidak boleh dipolitikkan kerana ia telah ditetapkan dan dipersetujui sejak merdeka.

''Ini merupakan satu pandangan berbahaya dan boleh memecah-belahkan rakyat sekali gus menggambarkan kecetekan fikiran mereka apabila tidak memahami aspirasi negara yang telah dilambangkan melalui Jalur Gemilang,'' katanya.

Naib Presiden MCA, Gan Ping Sieu pula berkata, kenyataan biadab pemimpin DAP itu merupakan pendekatan pembangkang untuk mencetuskan kontroversi demi meraih publisiti murahan.

Oleh itu, katanya, semua pihak diminta tidak terperangkap dengan permainan politik mereka yang digambarkan tidak matang dan tidak bertanggungjawab.

''Pemimpin pembangkang lain seperti Pas dan PKR diminta mengeluarkan pendirian segera berhubung kenyataan ADUN DAP itu atau menjadikannya sebagai satu manifesto pembangkang dalam pilihan raya umum akan datang,'' katanya.

MM : Pembangkang dalam keadaan terdesak. Selepas mat sabun meracau, kini adun kota alam shah pula merapu. Nampaknya mereka sudah cuba untuk meracuni pemikiran rakyat terutamanya golongan muda yang kurang pengetahuan Sejarah Tanahair. Pemesongan sejarah yang cuba dilakukan oleh mereka benar-benar menyedihkan. Layakkah mereka ini duduk di negara Merdeka ini?