Tuesday, September 17, 2013

Chin Peng - Kuburkan di mana sahaja tetapi BUKAN DI BUMI MALAYSIA......

Mayat bekas Setiausaha Agung Parti Komunis Malaya (PKM) Chin Peng yang meninggal dunia di Thailand akibat sakit tua pada usia 90 tahun tidak akan diterima untuk dibawa pulang ke negara ini. Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi berkata, walaupun sudah meninggal dunia, mendiang tetap ketua pengganas komunis yang bertanggungjawab membunuh ribuan anggota keselamatan negara. Katanya, kematian Chin Peng itu juga tidak mungkin dapat memadam rasa kebencian terhadap mendiang terutama dalam kalangan balu-balu anggota polis dan tentera yang dibunuh kejam pengganas komunis. "Tidak mungkin veteran polis dan tentera akan menerima mayat atau abu mendiang sekalipun untuk dikebumikan di Malaysia. Chin Peng bukan pejuang kemerdekaan sebagaimana dakwaan pihak-pihak tertentu. "Mendiang tetap ketua pengganas komunis yang tidak boleh diterima di bumi ini," katanya dalam kenyataan di sini hari ini. Beliau mengulas gesaan pihak tertentu supaya kerajaan membenarkan Chin Peng dikebumikan di negara ini. Chin Peng atau nama sebenarnya Ong Boon Hua yang tinggal dalam buangan di Thailand meninggal dunia di sebuah hospital di Bangkok pada pukul 6.20 pagi hari ini akibat sakit tua. Sepanjang mengetuai komunis semasa zaman darurat pada 1948 hingga 1960 dan 1968 hingga 1989, pelbagai kekejaman dilakukan Chin Peng serta pengikutnya terhadap anggota keselamatan negara serta orang awam. Mendiang bertanggungjawab mengepalai komunis membunuh sebanyak 2,083 anggota keselamatan negara dan mencacatkan 3,541 anggota lain manakala sebanyak 2,588 orang awam pula dibunuh dengan 1,490 yang lain cedera. Sementara itu, Menteri Pertahanan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, kematian Chin Peng tidak akan dianggap sebagai satu kehilangan berikutan pengkhianatan dan keganasan yang pernah dilakukan oleh mendiang pada zaman lampau. Malah, tegas beliau, Chin Peng yang pernah mengetuai parti komunis di negara ini bertanggungjawab penuh ke atas kematian beribu-ribu anggota keselamatan dan rakyat yang berusaha mempertahankan kedaulatan negara. "Saya menyokong keputusan kerajaan tidak membenarkan mayat atau abu mendiang ditanam di Malaysia, malah semasa mendiang tenat sebelum ini saya sebagai Menteri Dalam Negeri ketika itu tidak membenarkan sama sekali beliau dibawa pulang," katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Dalam_Negeri/20130917/dn_03/Tidak-boleh-diterima-di-bumi-Malaysia#ixzz2f8Ga50yC © Utusan Melayu (M) Bhd

BIADAP!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!!

Naib Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR), N. Surendran yang mempertikaikan agenda Pemerkasaan Ekonomi Bumiputera disifatkan sebagai individu berfikiran sempit dan hanya melihat agenda tersebut kepada satu aspek dalam politik sahaja. Menteri Kesejahteraan Bandar, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Abdul Rahman Dahlan mengingatkan Surendran supaya menilai kembali kesannya kepada seluruh masyarakat sekiranya kerajaan mengambil opsyen kedua dengan mengabaikan 65 peratus penduduk bumiputera di negara ini. "Surendran hanya tahu memikirkan satu aspek dalam politik, beliau hanya melihat kepada satu sudut sahaja iaitu dari segi kertas tetapi semangat agenda ini tidak dapat difahami oleh mereka. "Bayangkan opsyen yang satu lagi ialah mengabaikan kepentingan 65 peratus penduduk di negara kita ini yang rata-ratanya masih miskin dan mundur. Apa kesannya selepas ini? Surendran baharu masuk dalam politik tetapi kita sudah memerintah 50 tahun dalam negara Malaysia dan 56 tahun di Tanah Melayu," katanya dalam majlis pembayaran dividen Koperasi Kadamaian Kota Belud Berhad di Dewan Gopog pekan Taginambur, di sini hari ini. Yang turut hadir, Timbalan Ketua UMNO Bahagian Kota Belud, Awadnir Matanggal; Bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Herbert Timbun Lagadan dan Pengerusi Koperasi Kadamaian Kota Belud, Daniel Samudin. Surendran kelmarin dalam kenyataannya kepada salah sebuah portal berita didakwa cuba mempersoalkan kewibawaan Artikel 153 Perlembagaan Persekutuan dan membangkitkan kemarahan golongan bumiputera kononnya pengumuman Perdana Menteri, Datuk Seri Najib tun Razak menyentuh kebebasan hak asasi rakyat. Tambah Abdul Rahman, sekiranya golongan bumiputera yang menjadi golongan majoriti tidak berasa selesa dan terpinggir, ia bakal mencetuskan masalah sosial seterusnya mengganggu gugat kestabilan politik negara. Tegas beliau, bagi menstabilkan negara yang memberi manfaat kepada seluruh rakyat, maka kerajaan perlu memberi keyakinan kepada golongan bumiputera bahawa kerajaan sentiasa berusaha membantu mereka tanpa meminggirkan mana-mana kaum lain. "Jadi membantu 65 peratus yang sememangnya mundur dan serba kekurangan itu bukan satu agenda yang buruk dan bersifat perkauman kerana ini adalah agenda nasional yang perlu disokong rakan-rakan bukan bumiputera. "Seperti yang saya katakan sebelum ini kalau bumiputera mempunyai keupayaan dan kewangan yang lebih sudah tentu wang itu akan turun kepada premis-premis perniagaan yang rata-ratanya dimiliki bukan bumiputera," katanya. Artikel Penuh: http://www.utusan.com.my/utusan/Politik/20130917/po_16/Surendran-berfikiran-sempit#ixzz2f8A7QKKn © Utusan Melayu (M) Bhd