Wednesday, November 23, 2011

95% kanak-kanak Kelantan rosak gigi?

KUALA LUMPUR 22 Nov. – Hampir keseluruhan kanak-kanak di Kelantan yang berumur bawah enam tahun mengalami masalah pereputan gigi atau gigi berlubang akibat air di negeri itu tidak dibekalkan dengan kandungan fluorida yang mencukupi.

Laporan Jabatan Kesihatan Negeri Kelantan menyebut, pada tahun 2007, 95.3 peratus kanak-kanak di negeri itu yang berumur di bawah enam tahun menghadapi masalah gigi berlubang. Pada tahun itu, penduduk mendapat air berfluorida adalah 18.1 peratus.

Bayangkan apa yang berlaku selepas ini. Ini kerana peratusan penduduk yang mendapat air berfluorida menurun hampir setiap tahun dan tahun lalu hanya hanya 14.1 peratus.

MM : Harap kerajaan negeri buat lah sesuatu. Jangan hanya pandai berceramah ke hulu ke hilir, mengutuk dan memaki hamun Kerajaan BN sedangkan rakyat di negeri sendiri diabaikan. Dan jangan menjadikan isu ini isu politik.

Tuesday, November 22, 2011

DAULATNYA LAGU 'NEGARAKU'....

Salam....Tahniah kepada skuad Harimau Muda. Sang Garuda di baham Harimau. Bermulanya Sukan SEA hingga semalam, setiap kali berkumandangnya lagu 'NEGARAKU', penyokong tuanrumah akan mengejek, menghina dan menyorak lagu tersebut. Lagu kebangsaan sesebuah negara adalah maruah kepada negara dan rakyat. Akibat ego,sombong, bongkak, rakyat Indon menghina lagu 'NEGARAKU' dan akhirnya, disaksikan oleh beratus juta rakyatnya dan berpuluh juta rakyat MALAYSIA, pasukan bolasepak mereka tersungkur dibaham 'HARIMAU MALAYA'. Rasa kawan, tidak pernah terfikir oleh anak-anak muda skuad Harimau Muda akan menaiki kereta perisai Barracuda, tetapi itu lah yang terpaksa mereka lalui di sana. Walauapapun, kawan dan seluruh rakyat MALAYSIA kagum dengan semangat juang yang tinggi yang ditunjukkan oleh skuad Harimau Muda. Mereka sedikitpun tidak gentar dengan sorakan dan ejekkan dari lebih 100,000 penonton di Stadium Gelora Bung Karno malah mereka menjadikan sorakan dan ejekkan tersebut sebagai pembakar semangat untuk memalukan skuad garuda. Tahniah Skuad Harimau Muda..Kami rakyat Malaysia berbangga dengan mu.... Dan, itulah Daulatnya lagu 'NEGARAKU'...

Pembangkang dinasihat hentikan manipulasi KR1M...

KUALA LUMPUR 21 Nov. - Pembangkang dinasihatkan supaya tidak terus memainkan isu Kedai Rakyat 1Malaysia (KR1M) untuk memburuk-burukkan kerajaan hanya bagi mendapatkan sokongan rakyat.

Presiden Persatuan Pesara Kerajaan Malaysia, Datuk Raja Wan Mahmood Pawanteh berkata, tujuan pembangkang memanipulasi isu itu menunjukkan bahawa mereka bimbang usaha kerajaan membantu rakyat itu telah berjaya.

"Isu ini sengaja dicetuskan dan mempunyai agenda politik. Sebenarnya ia berjaya membantu mengurangkan beban golongan berpendapatan sederhana dan rendah.

"Kita seharusnya menyokong usaha kerajaan untuk membantu rakyat dan bukannya mengeluarkan kenyataan yang berbaur hasad dengki untuk menghasut rakyat membenci kerajaan," katanya kepada Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas dakwaan demi dakwaan yang dibuat pembangkang bahawa harga dan kualiti produk kedai itu tidak seperti yang digambarkan.

Raja Wan Mahmood mahu kewujudan kedai itu diteruskan selaras dengan hasrat kerajaan untuk membantu rakyat.

"Inilah bukti kerajaan membantu rakyat dan bukannya bercakap kosong seperti pembangkang. Usaha ini adalah perlu bagi memastikan rakyat menikmati kemudahan yang disediakan oleh kerajaan," jelasnya.

MM : Sebenarnya pembangkang sudah mula takut bahawa rakyat terutamanya di bandar-bandar sudah mula menyedari bahawa kerajaan pada hari ini tidak mengabaikan kebajikan seluruh rakyat. Apa yang dilakukan oleh kerajaan BN adalah mengotakan janji-janji yang dibuat kepada rakyat, tidak seperti pembangkang yang hanya pandai berjanji semasa pilihanraya tetapi apabila berkuasa, semuanya hanya tinggal janji.

Saturday, November 19, 2011

Jika benar fitnah, saman!!!!!!!

NFC wajar ambil tindakan jika difitnah
KUALA LUMPUR 18 Nov. - Perbadanan Fidlot Nasional (NFC) berhak mengambil tindakan undang-undang terhadap Mohd. Rafizi Ramli jika dakwaan dan tuduhan yang dilemparkan Pengarah Strategi Parti Keadilan Rakyat (PKR) itu berunsur fitnah.

Setiausaha Agung Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa), Syed Hasan Syed Ali berkata, begitu juga penjelasan yang dikeluarkan oleh Pengerusi NFC, Datuk Seri Dr. Mohamad Salleh Ismail yang boleh dinilai oleh pelbagai pihak mengikut tafsiran masing-masing.

"Adakah ia salah laku di pihak pengurusan atau ia adalah perkara biasa dilakukan oleh semua syarikat untuk mengambil kesempatan membuat untung sementara.

"Isu seorang pemimpin berkait dalam NFC adalah disebabkan keluarganya terlibat secara langsung sebenarnya tidak ada masalah jika projek itu berjaya.

"Siapa sahaja yang memerintah sudah pasti ada keluarga terbabit dalam perniagaan dan mereka juga berhak mendapat bantuan melainkan ada salah guna kuasa," katanya dalam satu kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas isu NFC yang didakwa pembangkang tidak terurus serta gagal mencapai sasaran yang ditetapkan kerajaan.

Syed Hasan berkata, Perkasa percaya kerajaan akan bertindak terhadap mana-mana pemimpin yang merosakkan kewibawaannya seperti mana tindakan ke atas beberapa pemimpin sebelum ini.

MM : Jika benar Rafizi Ramli membuat fitnah, ambil tindakan segera, saman. Jangan beri muka kepada mereka-mereka yang cuba setiap masa menabur fitnah ke atas kerajaan. Kawan tengok banyak benar fitnah dan cerita yang direka-reka oleh pembangkang untuk mengaburi mata rakyat unutk menunjukkan betapa teruknya kerajaan yang ada dan apabila bukti yang diberikan oleh kerajaan dan ternyata cerita yang dibawa oleh pembangkang itu adalah rekaan,mereka terus senyap. Yang menghairankan kawan, puak-puak penyokong pembangkang yang dikatakan cerdik-cerdik belaka menerima bulat-bulat apa yang dikatakan oleh pemimpin mereka walaupun ternyata ianya adalah fitnah. Betul-betul mereka ni BUTA HATI!!!!

BERTINDAK TERHADAP ANWAR!!!!

KUALA LUMPUR 18 Nov. - Kerajaan didesak bertindak segera menghalang Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim daripada terus menaburkan fitnah terhadap pemerintah dan pasukan keselamatan negara ini.

Ketua UMNO Bahagian Cheras, Datuk Syed Ali Alhabshee berkata, sekiranya kerajaan terus berlengah pastinya fitnah tersebut akan berleluasa dan memusnahkan kesejahteraan Malaysia.

"Anwar sudah berkali-kali cuba memecah-belahkan rakyat terutama dalam kalangan orang Melayu, menjadikan beliau ancaman kepada negara dan rakyat.

"Justeru, pihak berkuasa terutama Kementerian Dalam Negeri perlu mengambil tindakan undang-undang terhadap Anwar kerana sengaja cetuskan keresahan rakyat dan ketegangan dalam masyarakat," katanya pada Majlis Anugerah cemerlang Ujian Pencapaian Sekolah Rendah (UPSR) Yayasan Pendidikan Cheras (YPC) di sini hari ini.

Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Anwar kelmarin mendakwa UMNO berniat jahat mengaibkan Ketua Pembangkang itu dan keluarga berhubung skandal video seks pada 22 Mac lalu.

MM : Kawan sokong apa yang dikatakan oleh Ketua UMNO Bahagian Cheras ini. Sudah tiba masanya kerajaan mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap Anwar kerana beliau sering menuduh kerajaan terutamanya UMNO walaupun tanpa bukti yang kukuh. Beliau jugalah satu-satunya manusia yang sering memburukkan kerajaan di luar negara. Harap kerajaan bertindak segera sebelum terlambat....

Thursday, November 3, 2011

Pelik Kerajaan Selangor tidak tahu taja Muay Thai RM5 Juta

Petikan dari Sinar Harian
– Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, mempersoalkan tindakan Kerajaan Selangor ‘lepas tangan’ dan menuding jari kepada kementeriannya dalam isu kehadiran petinju Israel, Ilya Grad dalam kejohanan Pencabar Muay Thai baru-baru ini.

Menurutnya, Kerajaan Selangor di bawah agensi pelancongan negeri, jelas menaja rancangan TV sebanyak RM5 juta tetapi pelik, bagaimana mereka mengatakan tidak tahu.

Katanya lagi, beliau tidak mempertikaikan penajaan tersebut, malah menggalakkan mana-mana kerajaan negeri dan syarikat swasta menaja aktiviti sukan, namun tidak bersetuju kesalahan ini hanya dituju kepada kementerian.

“Saya ada bukti Kerajaan Negeri menaja rancangan ini RM5 juta, malah logo agensi pelancongan negeri Selangor ada dalam setiap episod.

“Apa yang pelik mereka boleh berkata tidak tahu, sepatutnya jabatan audit datang menyiasat kerana jumlah ini adalah besar,” katanya di lobi Parlimen semalam.

Mengulas mengenai dakwaan petinju Israel tersebut yang mengatakan dia masuk ke negara ini atas sokongan Menteri Belia dan Sukan, Shabery menegaskan beliau hanya berkata tiada halangan sekiranya semua peraturan dipenuhi.

“Seperti pasukan Chel­sea di mana ada seorang pemain Israel, kita tidak boleh menghalang beliau seorang atau keseluruhan pasukan, jadi ada pengecualian sesetengah kes,” katanya.

MM : Kalau kerajaan negeri tidak tahu apa yang berlaku dalam negeri sendiri, lebih baik letak jawatan. Kenapa perlu mencari kesalahan orang lain, cermin diri sendiri dahulu.

Seksualiti Merdeka : dakwa Ambiga!!!!!!!

KUALA LUMPUR 2 Nov. - Pertubuhan Pribumi Perkasa Malaysia (Perkasa) hari ini mendesak pihak berkuasa khususnya Jabatan Peguam Negara supaya mengambil tindakan mendakwa Datuk S. Ambiga kerana sikapnya yang semakin melampau apabila menyokong program Seksualiti Merdeka 2011.

Ketua Wiranya, Irwan Fahmi Ideris berkata, Pengerusi Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (Bersih) itu perlu dikenakan tindakan tegas kerana telah melakukan banyak perkara yang boleh memecah-belahkan perpaduan dan mengugat ketenteraman awam.

"Pihak Peguam Negara perlu mendakwa Ambiga jika Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah selesai membuat siasatan. Sudah lebih 100 hari dia terlibat menganjurkan perhimpunan haram Bersih, Ambiga masih lagi bebas.

"Ambiga cuba membangkitkan kemarahan orang ramai khususnya kaum Melayu.

"Tindakan Ambiga ini sudah melampau apabila menyokong pula hubungan sejenis dan seks bebas yang jelas bertentangan dengan agama Islam yang termaktub dalam Perlembagaan Negara sebagai agama rasmi Persekutuan," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum menyerahkan memorandum bantahan terhadap Program Seksualiti Merdeka 2011 anjuran kira-kira 20 pertubuhan bukan kerajaan (NGO) dan individu kepada Ketua Polis Negara (KPN) di Ibu Pejabat Polis Bukit Aman di sini hari ini.

Memorandum itu diterima oleh Penolong Ketua Urus Setia KPN (Perhubungan Awam), Asisten Komisioner Ramli Mohamed Yoosuf yang mewakili Tan Sri Ismail Omar.

Program Seksualiti Merdeka 2011 yang bermula semalam hingga 13 November ini akan dirasmikan oleh Ambiga malam ini.

Ia dipromosikan melalui laman web www.seksualitimerdeka.org yang kononnya bertujuan mempertahankan hak golongan homoseksual agar boleh diterima dalam kalangan masyarakat negara ini.

Antara penaja dan penyokong program yang berlangsung selama 13 hari ini ialah Majlis Peguam dan Suara Rakyat Malaysia (Suaram) dengan beberapa aktiviti seperti bengkel, perbincangan, filem, pameran dan persembahan.

Menurut Irwan Fahmi, memorandum bantahan diserahkan hari ini meminta PDRM dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) mengambil tindakan tegas dengan membatalkan semua permit yang telah dan sedang diproses bagi menghalang aktiviti program itu.

"Dengan membenarkan program ini berlangsung, secara tidak langsung Malaysia telah bersedia menerima golongan rakyat yang berfikiran bahawa hubungan sejenis adalah hak asasi mereka, sedangkan perbuatan seks luar tabii adalah dilarang bukan sahaja oleh agama Islam, malah agama-agama lain di negara ini," ujarnya.

Sementara itu, Ramli ketika ditemui memberitahu, beliau akan menyerahkan memorandum tersebut kepada KPN untuk menentukan tindakan lanjut yang akan diambil.

MM : Kebal sangat ke Ambiga ni? Kawan tengok banyak benar perkara yang dilakukan oleh dia yang melanggar undang-undang tapi hingga kini ia masih bebas. Rakyat menunggu apa tindakan KDN.

Wednesday, November 2, 2011

Jumlah pemjawat awam terjejas jika pakatan menang

KUALA LUMPUR: CUEPACS bimbang jumlah kakitangan awam akan dikurangkan jika pakatan pembangkang menang pilihan raya umum akan datang berikutan tindakan DAP mempersoalkan pelbagai kelebihan yang diberikan kerajaan kepada mereka. Timbalan Presidennya, Azih Muda, berkata DAP tidak seharusnya mempertikaikan kenaikan gaji dan pencen diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak dalam Bajet 2012 bulan lalu kerana ia dibuat berdasarkan kenaikan kos sara hidup di negara ini. “Jika itulah penilaian pembangkang kepada kakitangan awam, ia memberi gambaran tidak baik kepada kita pada masa depan.

“Kita tidak harus hanya melihat kepada pertambahan pendapatan seseorang, tetapi perlu diukur dari segi kos sara hidup yang perlu seiring dengan tahap kehidupan di Malaysia yang sedang ke arah negara berpendapatan tinggi,” katanya kepada Berita Harian, semalam.

Beliau mengulas kenyataan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP, Tony Pua yang mempersoalkan langkah kerajaan menaikkan gaji kakitangan awam antara tujuh dan 13 peratus, selain pelarasan kenaikan tahunan pencen bagi pesara kerajaan sebanyak dua peratus.

Pua yang juga Ahli Parlimen Petaling Jaya Utara berkata, langkah itu meningkatkan perbelanjaan sektor awam sebanyak 73.7 peratus dalam tempoh lima tahun dan tidak menggambarkan kerajaan serta perkhidmatan awam yang lebih efisyen atau menjimatkan kos.
Azih juga berkata, jika pembangkang berpendapat kakitangan awam tidak layak mendapat kenaikan gaji, CUEPACS bimbang generasi muda tidak akan berminat untuk berkhidmat dalam kerajaan.

“Kita sedia untuk berkhidmat kerana yakin kerajaan sedia ada sentiasa menjaga kebajikan dan melindungi rakyat menerusi pelbagai faedah yang diberikan kepada kami,” katanya.

MM : Jika benar apa yang dibimbangi oleh CUEPACS ini, maka amat malang bagi penjawat awam yang selama ini menyokong pembangkang. Tapi apa pun, kita tunggu apa komen penjawat awam yang mati-mati menyokong pembangkang selama ini yang mana kawan rasa majoritinya adalah orang MELAYU........