Thursday, May 19, 2011

AMK cuba semarakkan politik jalanan...

UNTUK kali keduanya dalam tempoh tidak sampai sebulan, kita melihat gelagat yang memualkan oleh Angkatan Muda Keadilan (AMK) yang dipimpin oleh Shamsul Iskandar Mohd Akin.

Jika pada 29 April lalu mereka mencemarkan kesucian Masjid Amru Al-As di Sentul, pada Isnin lalu pula, Mahkamah Tinggi Jenayah di Shah Alam pula menjadi 'mangsa'.

Segala-galanya kerana ketaksuban dan tindakan melampau untuk mempertahankan Ketua Umum Parti Keadilan Rakyat (PKR), Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Isnin lalu, Anwar diperintah membela diri atas dakwaan meliwat bekas pembantu peribadinya, Mohd.Saiful Bahari Azlan dan sebelum itu didakwa sebagai pelaku dalam rakaman video seks mirip seorang pemimpin pembangkang.

Mungkin kerana 'dilahirkan' di jalanan maka sikap mereka juga tidak ubah seperti samseng jalanan. Mereka bertindak apa sahaja semata-mata untuk mempertahankan Anwar.

AMK yang diketuai seolah-olah 'pendek akal' dalam berpolitik, bagi mereka apa juga isu harus diselesaikan dengan cara berkumpul dan berdemonstrasi.

Semua itu hakikatnya hanya tindakan kelompok yang semakin tersempit dan tertekan berikutan pelbagai kemelut yang melanda PKR.

Kononnya demi untuk menunjukkan kesetiaan kepada Anwar, AMK turun ke jalanan, mencemarkan kesucian masjid dan menimbulkan huru-hara di pekarangan mahkamah.

Ia seolah-olah tidak ada institusi yang akan mereka hormati seandainya berlaku sesuatu peristiwa yang tidak menyebelahi politik mereka.

Sikap AMK yang terus bertindak bagaikan 'samseng jalanan' ini tidak harus dibiarkan dan perlu membuka mata rakyat, demikianlah corak politik yang dilahirkan oleh PKR sejak tahun 1998.

Selama ini, mereka kononnya memperjuangkan kebenaran, keadilan dan ketelusan tetapi apabila soal-soal tersebut tidak mendatangkan keuntungan kepada PKR maka terpekik terlolonglah mereka membantahnya.

Ternyata sekali politik kebencian, ketaksuban dan kemarahan sentiasa sahaja menyelimuti AMK dan PKR.

Tetapi percayalah apa pun mereka lakukan ialah tidak akan mengubah kedudukan PKR yang bagaikan kapal yang semakin bocor dan menanti masa untuk karam.

Ia berlaku bukan kerana orang lain tetapi kerana pemimpin-pemimpinnya sendiri termasuklah kepimpinan AMK.

MM: Anak Muda Kehausan (AMK), seperti juga DSAI, kehausan dalam serbaserbi.

Demi Islam....

Beberapa individu berhasrat mengatur pertemuan tertutup antara Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria dengan Mursyidul Am PAS, Tuan Guru Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat.
Pertemuan itu untuk membincangkan isu berkaitan kepentingan umat Islam yang menjadi perbualan hangat masakini.

Individu itu menyatakan demikian di dalam surat yang dihantar kepada Harussani, hari ini.

Menurutnya, pihaknya merasakan sudah tiba masanya untuk kedua-dua tokoh itu bersemuka dengan cara yang lebih terhormat dan beradab bagi menjernihkan keadaan dan menyelesaikan kemelut yang hanya merugikan umat Islam.

Ini, katanya ekoran acap kali pertembungan terbuka antara Mufti Perak itu dengan Nik Abdul Aziz dipaparkan melalui media, terutama dalam melibatkan isu-isu agama.

Tambahnya, dengan menghormati ilmu Harussani, pihaknya merasakan kaedah itu adalah yang terbaik bagi menidakkan semua pandangan yang telah dikemukakan secara terbuka.

“Kami juga yakin Datuk Nik Abdul Aziz akan bersedia menerima jemputan bagi tujuan tersebut supaya tiada lagi persengkataan terbuka dan masing-masing akan terus dapat memberikan tumpuan pada agenda memartabatkan Islam di dalam ruang lingkup tugas yang diamanahkan,” ujarnya di dalam surat itu.

Sehubungan, ujarnya, mereka juga memohon agar mufti itu dapat memberikan tarikh-tarikh yang sesuai dan pihaknya akan mendapatkan maklum balas daripada pihak Nik Abdul Aziz yang juga Menteri Besar Kelantan bagi tujuan tersebut.

Wednesday, May 4, 2011

PAS makin tak percaya Anwar?

Pucuk pimpinan Pas Kelantan kecuali Menteri Besar, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat, dipercayai semakin yakin bahawa lelaki dalam rakaman video seks yang didedahkan trio ‘Datuk T’ adalah Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Bekas Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat (PKR) Kelantan, Wan Khairul Ihsan Wan Muhammad mendakwa, pendirian Pas negeri itu disuarakan sendiri oleh beberapa pemimpin kanan Pas Kelantan kepadanya.

Dakwa Wan Khairul lagi, hakikat tersebut juga dapat dilihat apabila Anwar sendiri tidak mendapat sambutan hangat daripada pemimpin Pas Kelantan semasa beliau mengunjungi Nik Abdul Aziz di Kota Bharu, beberapa hari lalu.

Pada masa sama, katanya, Anwar juga sewaktu berkunjung ke Kelantan hanya berceramah di kawasan yang majoritinya penyokong Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan bukannya di kubu kuat Pas seperti kebiasaan.

“Saya boleh katakan di sini bahawa semakin ramai pemimpin Pas Kelantan meragui penafian Anwar bahawa dia tidak terlibat dalam video seks. Rata-rata mereka percaya Anwar terbabit dalam video itu sebagaimana didakwa.

“Namun atas pertimbangan politik mereka ini terpaksa mengambil pendekatan tunggu dan lihat sehingga keputusan mengenai siapa pelaku dalam video seks didedahkan pihak berkuasa,” katanya ketika dihubungi Utusan Malaysia di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Wan Khairul berkata, cabaran exco Kelantan, Datuk Husam Musa supaya Datuk Shazryl Eskay Abdullah menjalani poligraf juga sebenarnya bersifat serampang dua mata yang bertujuan memerangkap Anwar.

Katanya, ini kerana sebagai ahli politik berpengalaman, Husam sebenarnya sudah dapat membaca bahawa Shazryl Eskay tidak takut untuk menjalani ujian tersebut, memandangkan sumpah laknat pun ahli perniagaan itu berani laksanakan.

Dalam pada itu, Wan Khairul mencabar Anwar supaya membawa kes rakaman video seks tersebut ke mahkamah syariah dengan segera jika benar beliau yakin dirinya tidak bersalah dan sengaja difitnah oleh Shazryl Eskay.

“Anwar tidak perlu menyalahkan orang lain. Bukti yang ada sekarang sebenarnya semakin tidak berpihak kepada dia. Jika dia yakin tuduhan ini satu fitnah segera failkan kes ini ke mahkamah syariah memandangkan untuk bersumpah pun dia takut,’’ tegasnya.

MM: kepada ahli-ahli PAS, perkara ini bukan main-main. Jika benar pelaku tersebut adalah pemimpin yang dikatakan "Anugerah Tuhan" itu, dan masih mahu mempertahankannya, apakah sebenarnya perjuangan ahli-ahli PAS ini? Harapan kawan, buatlah sembahyang hajat untuk meminta petunjuk moga-moga Allah akan memberi petunjuk.

Siapa Pengkhianat Islam?

Mufti Perlis, Dr. Juanda Jaya menyifatkan pihak-pihak yang menentang penyatuan antara UMNO dan Pas sebagai pengkhianat Islam.

Selain itu beliau berkata, mereka juga boleh dianggap pendukung fikrah puak Khawarij iaitu sebuah kumpulan yang amat bencikan kesatuan di dalam Islam.

“Penyatuan (UMNO dan Pas) sebenarnya adalah wajib khususnya untuk kekuatan Islam dan Malaysia amnya. Semua pihak wajib berusaha ke arah itu,’’ katanya kepada Utusan Malaysia di sini hari ini.

Isu penyatuan serta kerjasama antara UMNO dan Pas bukan satu perkara baru malah ia telah dibincang serta dibahaskan sejak sekian lama sama ada di media mahu pun di kalangan rakyat.

Kerjasama yang dimaksudkan berkaitan dengan perkara membabitkan kepentingan Islam dan Melayu, bagaimanapun usaha itu sering terbantut ekoran keengganan Pas untuk berbuat demikian.

Berbeza dengan Pas, pucuk pimpinan UMNO termasuk Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan Timbalannya, Tan Sri Muhyiddin Yassin dilihat lebih terbuka dan positif dalam usaha tersebut.

Terbaharu Perdana Menteri berkata, sudah tiba masanya Pas meninggalkan pakatan pembangkang khususnya DAP yang ternyata tidak pernah sekalipun memperjuangkan Islam.

Juanda berkata, al-Quran sendiri telah memerintahkan supaya umat Islam bersatu padu dan Islam perlu ditegakkan.

Katanya, ia jelas melalui petikan firman Allah ayat 13 surah Asy-Syura yang bermaksud “Tegakkanlah pendirian agama dan jangan kamu berpecah belah”.

“Junjungan besar Rasulullah SAW juga sebelum wafat sempat berwasiat menyuruh semua umatnya bersatu di bawah satu imam dan jangan berpecah belah,’’ katanya lagi.

MM: kawan harap mereka yang dimaksudkan oleh Mufti Perlis ini akan mengambil iktibar agar penyatuan umat Islam di negara ini dapat dilakukan. Apakah kita mahu umat Islam berpecah di negara ini? Jangan lah kerana politik, kita lupa akan pesan Rasulullah SAW.